KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said menyokong cadangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya hukuman lebih berat termasuk sebatan dikenakan terhadap penjenayah penipuan dalam talian.
Beliau bagaimanapun berkata usaha membendung kegiatan penipuan dalam talian tidak harus hanya tertumpu kepada peningkatan hukuman, sebaliknya institusi kewangan terlibat juga perlu memainkan peranan dan mengambil tanggungjawab.
“Saya ada melihat cadangan PDRM untuk mengenakan hukuman sebat dan saya boleh setuju lebih daripada sebatan untuk jenayah penipuan.
“Saya sudah sebut banyak kali dalam Parlimen dan luar Parlimen bahawa antara strategi (membendung jenayah itu) ialah bank yang menerima duit scam ini juga mesti ada tanggungjawab,” katanya.
Azalina berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Pendanaan Politik 2026 di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di sini hari ini.
Beliau berkata adalah tidak wajar untuk institusi perbankan meletakkan sepenuhnya risiko kehilangan wang akibat penipuan kepada pelanggan dengan alasan akaun itu digunakan oleh pihak lain.
“Perkara ini tidak boleh hanya kerana ada individu guna akaun bank mangsa, pihak bank berkata ia atas risiko sendiri. Simpan duit di bawah bantal kalau macam itu.
“Bank Negara Malaysia sudah buat pelbagai pesanan khidmat masyarakat, PDRM pun sudah banyak kali maklumkan tetapi nampak rakyat masih lagi tertipu dan terikat (dengan penipuan dalam talian),” katanya.
Azalina berkata kerajaan juga perlu mengkaji jika hukuman yang lebih berat benar-benar mampu mengurangkan kes penipuan atau mekanisme yang meletakkan tanggungjawab bersama kepada institusi perbankan boleh menjadi langkah lebih berkesan bagi membendung jenayah itu.
Sekiranya bank turut dipertanggungjawabkan, beliau berkata ia berpotensi mendorong institusi kewangan untuk memperketat sistem pemantauan dan keselamatan bagi menghalang transaksi mencurigakan.
Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata PDRM mencadangkan pindaan undang-undang lapuk serta hukuman jauh lebih berat termasuk sebatan terhadap penjenayah penipuan dalam talian.
Mohd Khalid berkata hukuman ketika ini dilihat terlalu minimum sehingga gagal menimbulkan rasa gentar dalam kalangan dalang dan ahli sindiket penipuan.
--BERNAMA