KUALA LUMPUR: Susulan kenyataan yang membela Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terhadap dakwaan rasuah pilihan raya, Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center) menggesa Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki segera diganti.

Dalam satu kenyataan, C4 Center menegaskan Azam mesti diganti sebagai sebahagian daripada pembaharuan segera bagi memastikan kebebasan SPRM dalam melaksanakan tugas.

“Pembaharuan segera mesti dilaksanakan bagi memastikan kebebasan SPRM termasuk penggantian serta-merta ketua pesuruhjaya, kerana Azam telah berulang kali menunjukkan bahawa kredibiliti SPRM telah merosot di bawah kepimpinannya,” kata kumpulan tersebut pada Khamis.

Kumpulan itu berhujah bahawa bertentangan dengan kenyataan Azam, terdapat alasan undang-undang untuk SPRM menyiasat pengumuman Zahid baru-baru ini mengenai geran persekutuan untuk kumpulan belia Terengganu, kerana terdapat petunjuk bahawa jumlah itu mungkin dinaikkan bergantung kepada keputusan pilihan raya negeri (PRN).

C4 Center memetik Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang merangkumi 'amalan rasuah' dan termasuk menawarkan atau menjanjikan sebarang wang atau balasan berharga untuk mana-mana pengundi.

"Yang mana boleh ditafsirkan dengan cara yang meliputi tindakan Zahid," kata kumpulan itu.

Zahid yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, semasa majlis kementerian di Terengganu pada 28 Jun lalu mengumumkan peruntukan RM250,000 kepada Majlis Belia Terengganu dan RM200,000 kepada pasukan bermotosikal di seluruh negeri itu.

Zahid kemudian meminta belia yang hadir pada majlis itu untuk mengundi “gelombang biru dan merah” pada PRN 12 Ogos ini.

Selanjutnya, C4 Center menyorot Azam menyatakan bahawa tidak perlu mengeluarkan garis panduan baharu untuk mengawal pemberian bantuan dan peruntukan kerajaan semasa pilihan raya.

“Azam betul dalam menyatakan Seksyen 10 AKta Kesalahan Pilihan Raya dengan jelas menetapkan panduan yang mesti dipatuhi oleh calon pilihan raya.

"Bagaimanapun, keyakinannya bahawa tindakan Zahid tidak melanggar mana-mana undang-undang, tanpa menjalankan sebarang siasatan mengenai perkara itu, mencerminkan salah baca asas undang-undang yang dipetiknya," kata C4 Center.

Kumpulan itu menambah bahawa kesalahan tertentu di bawah undang-undang pilihan raya juga disifatkan sebagai "kesalahan yang ditetapkan" di bawah Akta SPRM 2009 di mana suruhanjaya itu diberi kuasa untuk melaksanakan semua kuasa penyiasatan yang ada padanya.

"Penegasan Azam bahawa peruntukan yang diluluskan oleh kerajaan persekutuan tidak mempunyai unsur rasuah tidak mempunyai sebarang asas undang-undang, dan bertentangan dengan semangat kedua-dua akta itu iaitu untuk memerangi amalan rasuah dalam bentuk yang pelbagai," kata kumpulan itu.

Susulan itu, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menuduh Zahid “menormalisasikan rasuah”.

Azam, kemudiannya dilaporkan berkata bahawa pemberian itu bukan satu kesalahan kerana ia telah diluluskan oleh kerajaan persekutuan, dan oleh itu tidak mempunyai unsur rasuah.