KUALA LUMPUR: Seorang mampu membaca al-Quran dengan lancar malah menghafaz Surah as-Sajdah, seorang lagi mempunyai bacaan yang baik tetapi mengakui tidak memiliki telekung untuk menunaikan solat kerana keluarganya kurang berkemampuan.
Dua kisah itu antara sisi kehidupan kanak-kanak Orang Asli suku Semai yang ditemui sekumpulan sukarelawan ketika menyantuni masyarakat di Pos Lenjang, Kuala Lipis, Pahang, baru-baru ini.
Ahli Jawatankuasa Pertubuhan V1M, Naimah Abdullah berkata, pengalaman itu membuka mata sukarelawan bahawa di sebalik bakat yang dimiliki, masih terdapat kanak-kanak yang memerlukan sokongan untuk mendalami pendidikan Islam.
“Ada seorang anak Orang Asli yang lancar bacaan surah dan menghafaz Surah as-Sajdah.
“Ada seorang lagi bacaannya baik, tetapi apabila sampai bab solat, dia beritahu tidak mempunyai telekung kerana keluarganya tidak mampu membelinya,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Pertemuan itu berlaku ketika Program Bantuan dan Ziarah pada 31 Ogos hingga 1 September lalu yang turut menyaksikan buat pertama kalinya pertandingan azan dan tilawah dianjurkan melibatkan kanak-kanak Orang Asli di Pos Lenjang.
Setiap daripada 18 kampung di kawasan berkenaan menghantar seorang wakil bagi menyertai pertandingan itu, sekali gus memberi peluang kepada mereka memperlihatkan kebolehan yang sebelum ini mungkin kurang diketengahkan.
Menurut Naimah, pertandingan itu bukan semata-mata mencari pemenang, sebaliknya menjadi pendekatan untuk membangkitkan minat serta keyakinan kanak-kanak terhadap pembelajaran agama.
“Bila ada aktiviti sebegini, anak-anak mula bersemangat untuk berlatih. Program ini pertama kali melibatkan anak-anak Orang Asli untuk pertandingan azan dan tilawah. Di sini kita dapat melihat bakat mereka,” katanya lagi.
Beliau berkata, pendidikan Islam turut diberikan secara berterusan di sekolah, namun berdasarkan pemerhatian penganjur, masih terdapat kanak-kanak di kawasan itu yang memerlukan bimbingan tambahan dalam bacaan surah pendek dan tatacara menunaikan solat.
Justeru, katanya, program susulan dirancang dengan tumpuan kepada pengajian al-Quran dan fardu ain supaya usaha mendekati masyarakat berkenaan tidak terhenti selepas program selama dua hari itu.
Untuk sampai ke Pos Lenjang, 35 sukarelawan mengambil masa kira-kira empat jam perjalanan dari Shah Alam sebelum berdepan laluan sempit yang hanya boleh dilalui sebuah kenderaan pada satu-satu masa.
Hujan lebat dan ribut pada malam sebelumnya turut menumbangkan beberapa pokok sehingga kumpulan berkenaan terpaksa memotong dan mengalihkan sendiri pokok yang menghalang perjalanan mereka.
“Kami terpaksa potong pokok-pokok yang tumbang di sepanjang perjalanan,” katanya lagi.
Pos Lenjang merangkumi 18 kampung dengan kira-kira 886 keluarga, menurut maklumat penganjur.
Selain pertandingan azan dan tilawah, program berkenaan turut melibatkan agihan bakul makanan, pakaian dan barangan keperluan, selain sukaneka serta jamuan bersama penduduk.
Program berkenaan digerakkan oleh Pertubuhan V1M bersama beberapa pertubuhan dan kumpulan sukarelawan, termasuk Pertubuhan Al Musta’an, Pelitawanis TNB Cawangan Johor Bahru, Dapur Bencana-Team Hardware Melayu, Persatuan Kebajikan Gerobok Iman Hawa dan Iqlas Care.
Turut terlibat ialah Global Environment Services, Go Go Steamboat, Kembara Kitchen serta PIS Engineering & Construction Sdn Bhd.