Ringkasan AI
- Atlet para negara berjaya memenuhi sasaran enam pingat emas di Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 walaupun berdepan kecederaan dan cabaran.
- Pencapaian cemerlang termasuk Zuhairie Ahmad Tarmizi memecah rekod berbasikal, Bonnie Bunyau Gustin mempertahan emas powerlifting, dan Cheah Liek Hou menang emas badminton beregu.
- Dr Mohammed Taufiq merakamkan penghargaan kepada jurulatih, pasukan sokongan serta agensi sukan atas kejayaan dan persiapan kontinjen negara.
KUALA LUMPUR: Pengorbanan atlet para negara yang berjuang dalam keadaan kesakitan kerana mengalami kecederaan antara perkara yang menarik perhatian Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari sepanjang menyaksikan sendiri aksi kontinjen Malaysia pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun baru-baru ini.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook, Dr Mohammed Taufiq menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian atlet negara yang berjaya memenuhi sasaran enam pingat emas pada temasya berkenaan, sambil menyifatkan setiap kejayaan itu hadir dengan pengorbanan besar.
Dr Mohammed Taufiq berkata sepanjang berada di Jepun, beliau menyaksikan sendiri pengorbanan atlet yang berjuang dalam keadaan kesakitan kerana mengalami kecederaan dan pelbagai cabaran demi meraih kejayaan buat negara.
Antara pencapaian yang mencuri perhatian ialah kejayaan atlet berbasikal para lelaki negara Zuhairie Ahmad Tarmizi menghadiahkan emas pertama dalam acara ujian masa 1,000 meter C4-C5 berbasikal, selain memecahkan rekod temasya dengan catatan 1 minit 4.882 saat.
“Jaguh powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin mengalami kecederaan bahu dan tetap mengangkat 225kg untuk mempertahankan mahkota 72kg. Saya saksikan atlet para olahraga Datuk Abdul Latif Romly sekali lagi menguasai lompat jauh T20 dengan 7.39m. Saya juga berada di Rainbow Pool ketika atlet para renang Muhammad Nur Syaiful Zulkafli menyumbang emas dalam 100m kuak dada SB4.
“Atlet para badminton Cheah Liek Hou bertanding dengan koyakan otot paha, namun bersama Mohamad Faris Azri tetap menjulang emas beregu SU5. Wong Kar Gee, atlet separuh masa yang juga usahawan dan calon PhD, membuktikan komitmen yang luar biasa akhirnya membuahkan emas lompat jauh T12,” katanya dalam kenyataan itu.
Beliau turut mengenang semangat juang pelumba berbasikal para negara Nur Azlia Syafinaz dan jurumudinya Nurul Suhada yang bangkit meneruskan perlumbaan selepas terjatuh di jalan raya manakala perenang para negara Carmen Lim menamatkan penantian 12 tahun negara untuk meraih pingat dalam acara 50 meter gaya bebas S8 menerusi kejayaan membawa pulang gangsa.
Dalam pada itu, Dr Mohammed Taufiq merakamkan penghargaan kepada barisan jurulatih, pasukan perubatan, mekanik, pemuat peralatan, pegawai dan keluarga atlet yang memainkan peranan penting di sebalik kejayaan kontinjen negara.
Beliau turut menghargai sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Paralimpik Malaysia, Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara dan Agensi Antidoping Malaysia dalam memastikan persiapan serta penyertaan atlet berjalan lancar.
-- BERNAMA