ISKANDAR PUTERI: Ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT) Xisco Munoz menuntut aksi berintensiti tinggi dan fokus penuh daripada anak buahnya menjelang pertembungan Zon Timur Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) menentang Port FC di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, hari ini.
Munoz mengingatkan skuad Harimau Selatan supaya tidak memandang mudah perlawanan itu meskipun kelab Thailand berkenaan tewas kepada dua kelab Jepun, Vissel Kobe dan Kashiwa Reysol dalam aksi terdahulu.
"Kita tidak boleh menganggap perlawanan esok mudah. Saya fikir itu satu kesilapan besar dan kita tidak akan berbuat demikian," katanya pada sidang media praperlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, semalam.
Beliau menegaskan anak buahnya perlu beraksi dengan tenaga, cita-cita dan semangat juang tinggi dari minit pertama hingga wisel penamat.
Mengulas pendekatan Port FC yang dijangka beraksi secara bertahan dengan mengekalkan benteng pertahanan yang rapat sebelum memanfaatkan ruang terbuka, Munoz berkata pasukannya bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan dari segi taktikal.
Beliau berkata pasukan lawan lazimnya hadir dengan strategi berbeza, justeru barisan kejurulatihannya sudah membuat persiapan rapi dengan merangka pelbagai kemungkinan serta penyelesaian bagi mengekang gerakan lawan.
Sehubungan itu, Munoz menekankan kepentingan penyesuaian taktikal secara berterusan bagi memastikan pasukannya mampu bertindak balas dengan berkesan sepanjang 90 minit perlawanan.
Senada dengan jurulatihnya, pemain tengah berpengalaman JDT Natxo Insa mengakui Port FC ialah lawan berbahaya yang mampu memberikan tentangan sengit sehingga wisel penamat.
Insa turut mengingatkan rakan sepasukannya supaya tidak terlalu yakin, sebaliknya terus bekerja keras, mengekalkan komitmen dan bersikap rendah diri dalam usaha JDT memburu satu lagi keputusan positif dalam kejohanan itu.
Sementara itu, ketua jurulatih Port FC, Bozidar Bandovic mengakui pasukannya berdepan cabaran besar menentang JDT dan menggesa anak buahnya memberikan aksi terbaik demi memperoleh keputusan positif.
Beliau menyifatkan JDT sebagai pasukan yang tersusun dari segi taktikal, memiliki intensiti fizikal tinggi serta barisan pemain berkualiti yang mampu memberikan ancaman, khususnya di bahagian serangan.
-- BERNAMA