AZEC 2025: Asia ke arah tenaga rendah karbon

Wakil Malaysia bersama negara anggota lain sempena Mesyuarat Menteri Ketiga Asia Zero Emission Community (AZEC 2025) di Kuala Lumpur. - Foto Kementerian Ekonomi
KUALA LUMPUR: Malaysia meneguhkan komitmen untuk memperkasakan masa depan tenaga mampan serantau dengan penganjuran Mesyuarat Peringkat Menteri Asia Zero Emission Community (AZEC) ke-3, yang diadakan di Kuala Lumpur hari ini.
Ringkasan AI
- Malaysia bersama Jepun menganjurkan Mesyuarat Menteri AZEC ke-3 di Kuala Lumpur sebagai komitmen memperkukuh kerjasama serantau dalam tenaga bersih dan sasaran sifar karbon.
- Tujuh MoU dimeterai antara Malaysia dan Jepun melibatkan kerjasama strategik dalam tenaga boleh baharu, biobahan api, pembiayaan hijau serta teknologi penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS).
- Malaysia menegaskan sasaran peralihan tenaga melalui NETR termasuk 70% kapasiti tenaga boleh baharu menjelang 2050 dan pembangunan projek tenaga hijau seperti CCS, solar, hidro dan hidrogen hijau.
Mesyuarat ini juga menyaksikan tujuh Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Jepun yang telah ditandatangani merangkumi bidang strategik seperti penyahkarbonan, biobahan api, pembiayaan peralihan tenaga serta teknologi penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS).
Antara MoU utama termasuk kerjasama antara kerajaan Malaysia dan Jepun dalam bidang CCS; perjanjian antara PETRONAS CCS Solutions dengan Kawasaki Heavy Industries; serta perjanjian antara PETRONAS, TotalEnergies dan Mitsui & Co. bagi projek Southern Offshore Peninsular Malaysia CCS.

Delegasi negara dan anggota Asia Zero Emission Community (AZEC 2025) bergambar selepas sesi pemeteraian deklarasi bersama ke arah aspirasi tenaga rendah karbon di Asia. - Foto Kementerian Ekonomi
Selain itu, pemeteraian perjanjian kerjasama strategik antara Bank Pembangunan Sarawak dan Bank Mizuho akan meningkatkan peluang pembiayaan dan pelaburan dalam projek tenaga mampan. Manakala Malaysia Rubber Council (MRC) dan Asuene Inc. dalam kerjasama teknikal bagi inisiatif penyahkarbonan aktiviti MRC.
Turut dimeterai ialah perjanjian bekalan biobahan api antara PETRONAS Mobility Lestari Sdn Bhd, Enilive Spa dan Euglena Co. Ltd yang akan membina loji penapisan biobahan api di Pengerang, Johor sekali gus menjadi langkah penting ke arah pengeluaran Sustainable Aviation Fuel (SAF) dan biobahan api lain untuk sektor pengangkutan global.
Dalam ucapan pembukaan mesyuarat, Malaysia menegaskan komitmen untuk memacu transisi tenaga melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang disasarkan mencapai 70 peratus kapasiti tenaga boleh baharu menjelang 2050. Inisiatif ini memanfaatkan sumber seperti solar, hidro, hidrogen hijau dan biobahan api.
Malaysia turut menggariskan pencapaian utama dalam agenda tenaga bersih, termasuk penggubalan Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga (EECA) 2024 serta Akta Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) 2025 yang memperkukuh kerangka perundangan negara untuk menjadi hab CCS serantau.
Selain itu, penubuhan Fasiliti Peralihan Tenaga Negara (NETF) telah menyalurkan komitmen pembiayaan sebanyak RM603.7 juta sejak pelaksanaannya, manakala platform Energy Exchange Malaysia (ENEGEM) telah memudahkan urus niaga 50MW elektrik hijau rentas sempadan.
Projek-projek utama seperti Hybrid Hydro Floating Solar di Kenyir, pembangunan Battery Energy Storage System (BESS) berkapasiti 400MW/1,600MWh serta inisiatif solar bumbung di Bandar Elmina, menjadi bukti komitmen teguh Malaysia dalam mempercepat adaptasi tenaga boleh baharu di peringkat nasional.

Malaysia menzahirkan komitmen bersama Jepun dan Filipina dalam kerjasama serantau ke arah sifar pelepasan karbon melalui komuniti AZEC. - Foto Kementerian Ekonomi
Dalam sektor pengangkutan, Malaysia memperkenalkan Pelan Penyahkarbonan Sektor Penerbangan Malaysia (MADB) yang menjadikan negara sebagai peneraju serantau dalam pengeluaran SAF, selain pembangunan hab biobahan api di Pengerang untuk menghasilkan diesel hijau dan Hydrogenated Vegetable Oil (HVO).
Mesyuarat turut menekankan tiga teras utama kerjasama serantau iaitu memajukan peralihan tenaga yang adil dan inklusif melalui pembangunan keupayaan dan pemindahan teknologi, memperkukuh pengharmonian dasar serantau serta kerjasama awam-swasta bagi pertumbuhan mampan, dan menggerakkan pelbagai mekanisme pembiayaan untuk menyokong pembangunan infrastruktur hijau di seluruh rantau Asia.
Penganjuran Mesyuarat Menteri AZEC ke-3 sekali lagi menyerlahkan potensi Malaysia sebagai peneraju serantau dalam agenda peralihan tenaga, pembangunan teknologi tenaga boleh baharu dan menarik pelaburan serantau dalam sektor tenaga bersih.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami