KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman menyokong tindakan Pertubuhan Undang-Undang Sabah (SLS) memfailkan semakan kehakiman terhadap Kerajaan Persekutuan mengenai isu pemberian khas 40 peratus kepada Sabah.

Menurutnya, beliau akan membawa isu tersebut untuk dibahaskan pada persidangan Dewan Rakyat.

“Saya sokong tindakan SLS sebab saya adalah ahli parlimen yang pertama membangkitkan isu ini di Parlimen apabila Kementerian Kewangan (MOF) buat pertama kalinya mendedahkan warta rahsia yang diberikan kepada saya setelah dua menteri memberikan jawapan bercanggah berkenaan hak Sabah berkaitan tuntutan 40 peratus hasil yang dikutip Kerajaan Persekutuan dari negeri.

“Di dalam sidang yang akan datang, saya akan membangkitkan sekali lagi isu ini kerana sehingga ke hari ini, MOF masih tidak memberikan maklum balas kepada pertanyaan saya di hari terakhir sesi Parlimen yang lepas," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Tambah Azis, perjuangan menuntut hak Sabah wajar dilakukan merentasi batasan politik kerana ia melibatkan soal hak dan kepentingan masa depan rakyat Sabah.

"Ini hak kita dan kita wajar pertahankannya bersama. Jangan sesekali tunduk kepada ‘political master’ di Putrajaya,” katanya.

Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) pada Khamis memfailkan satu semakan kehakiman ke atas isu pemberian khas peruntukan 40 peratus kepada Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Permohonan itu difailkan firma guaman J Marimuttu and Partners yang menamakan Kerajaan Persekutuan sebagai responden.

Berikutan pengumuman pada 14 April mengenai persetujuan dicapai antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah, SLS memohon satu pengisytiharan antaranya bahawa kegagalan Kerajaan Persekutuan untuk melakukan kajian semula kedua dalam 1974 dengan kerajaan negeri merupakan satu kemungkiran dan menyalahi tanggungjawabnya di bawah Perkara 112D, Klausa (1), (3) dan (4) Perlembagaan Persekutuan.

Pada April lalu, Kerajaan Persekutuan bersetuju menaikkan pemberian khas kepada negeri Sabah menerusi pemberian khas baharu sebanyak 4.7 kali ganda daripada RM26.7 juta kepada RM125.6 juta bagi tahun 2022.

Amaun itu juga akan terus meningkat setiap tahun bagi tempoh 2023-2026 mengikut kadar kenaikan yang dipersetujui bersama.

Menerusi kenyataan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor persetujuan ini merupakan satu petanda penting memandangkan kali terakhir kajian semula berkenaan dibuat pada 1969.