KUALA LUMPUR:Spekulasi bertiup kencang di media sosial hari ini mendakwa Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dijangkiti COVID-19.

Bagaimanapun, sumber yang rapat dengan beliau telah menafikan dakwaan itu.

“Itu berita palsu. Tidak tepat sama sekali,” ujar sumber itu kepada Astro AWANI pada Selasa.

Sumber itu turut mendedahkan bahawa Ahli Parlimen Gombak berkenaan sudah menjalani ujian saringan sebanyak dua kali dan keputusan adalah negatif.

“(Azmin) sudah membuat ujian saringan dua kali. Kedua-dua keputusan ujian saringan yang dilakukan adalah negatif,” tambahnya.

Sementara itu, seorang lagi menteri yang turut didakwa positif COVID-19 ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Bagaimanapun, sumber lain yang rapat dengan Hamzah, memberitahu beliau sudah menjalani dua kali ujian saringan COVID-19 dan keputusannya negatif.

“Kami telah melakukan dua kali ujian swab dan keputusan sudah keluar hari ini. Negatif,” kata sumber yang tidak mahu namanya didedahkan itu kepada Astro AWANI pada Selasa.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara berkenaan COVID-19 di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada Sabtu lalu, 3 Oktober.



Terdahulu, dalam perutusan khas situasi semasa COVID-19 oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa, beliau memaklumkan bahawa beliau dan tujuh menteri serta enam timbalan menteri kini menjalani kuarantin kendiri di rumah.



 
BACA: Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri positif COVID-19

BACA: Tengku Zafrul negatif COVID-19, jalani kuarantin kendiri di rumah