Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) menafikan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan barisan exco kerajaan Selangor terlibat dalam penganugerahan tender balak bagi tanah yang dikaitkan dengan dua Projek Jajaran Talian Penghantaran Elektrik.

Pengarah Perhutanan Selangor, Dr Mohd Puat Dahalan menegaskan pihaknya mengulangi komitmen jabatan untuk menjamin proses yang terbuka dan telus dalam mengamalkan sistem pengurusan hutan secara berkekalan.

"JPNS menegaskan, Menteri Besar dan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) tidak terlibat dalam proses menilai mana-mana permohonan yang diterima JPNS untuk tujuan ini.

"JPNS juga ingin mengulangi komitmen jabatan untuk menjamin proses yang terbuka dan telus dalam mengamalkan sistem pengurusan hutan secara berkekalan.

"Ia selaras dengan dasar kerajaan negeri yang berteraskan kebertanggungjawaban, ketelusan dan keterbukaan," Dr Mohd Puat dipetik sebagai berkata dalam satu kenyataan media hari ini.

Dua projek jajaran yang dimaksudkan itu melibatkan jajaran talian elektrik dari Mahkota Cheras ke Mahkota Cheras Hartamas dan dari Bukit Tarek ke Chubadak.

Penjelasan JPNS itu sekaligus menafikan dakwaan yang dibuat oleh pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin.

Menurut kenyataan JPNS itu lagi, Jawatankuasa Pengurusan Perhutanan Negeri Selangor, yang menilai permohonan untuk mengeluarkan hasil tanah, telah melantik dua kontraktor bagi mengeluarkan hasil tanah kawasan terlibat.

Hasil penilaian yang dibuat, jawatankuasa itu berpuas hati dengan kerja 2 kontraktor itu yang diberikan lesen selama 6 bulan bagi melakukan kerja mengeluarkan hasil dari tanah yang terlibat.

Isu tender balak ini timbul setelah Badrul Hisham mendakwa kerajaan Selangor tidak telus dan menganugerahkan tender pembalakan secara terus kepada 2 syarikat.

Bagaimanapun, Azmin menafikan dakwaan tersebut dan menganggap ia tuduhan tidak berasas.