Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini berkata keputusan menggugurkan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), kekal.

Menurut beliau, arahan yang dikeluarkan itu dikekalkan bagi mengelakkan sebarang komplikasi perundangan.

"Kedudukan Ahli Lembaga Pengarah PKNS berkenaan kekal seperti yang diarahkan oleh Pengurus Besar PKNS pada 8 Januari lepas untuk mengelak sebarang komplikasi perundangan.

Selain itu, dua pegawai PKNS pula telah diarah bertukar tugas ke Ibu Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri berkuat kuasa hari ini (Isnin).

Pegawai yang diarahkan itu ialah Pengurus Besar PKNS, Othman Omar dan Setiausaha beliau iaitu Norita Mohd Sidek.

Menurut Khalid, pertukaran itu bersifat sementara bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan yang melibatkan fakta dan undang-undang.

Kata beliau adalah amat sukar untuk melaksanakan siasatan menyeluruh jika kedua-duanya masih bertugas di PKNS.

"Ini adalah kerana mereka adalah penjawat awam dan sebarang tindakan perlu mengikut peraturan penjawat awam," kata Khalid.

Perkara itu diputuskan selepas beliau mengadakan pertemuan dengan ahli lembaga pengarah PKNS di pejabatnya hari ini.

Katanya antara perkara yang disiasat adalah bagaimana surat pemecatan Ahli Lembaga Pengarah PKNS dikeluarkan oleh Pengurus Besar tanpa pengetuannya.

Katanya, keputusan itu telah pun dimaklumkan kepada kedua-dua pegawai terlibat dan meminta mereka memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan dijalankan.

Khalid juga memaklumkan bahawa tugas mereka akan diambil alih sementara oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi.

"Saya juga telah memberitahu keputusan ini kepada Ahli Lembaga Pengarah PKNS dalam mesyuarat sebentar tadi," katanya lagi.

Isu pengguguran Azmin menjadi hangat apabila kerajaan negeri dan PKNS menuding jari antara satu sama lain malah Khalid pula menyatakan hanya mahu memberikan penjelasan setelah berjumpa dengan pengurusan perbadanan itu.

Pada Sabtu, Khalid menafikan dakwaan beliau terlibat dalam membuat keputusan menggugurkan Azmin dan menjelaskan perkara itu dicadangkan oleh Pengurus Besar PKNS Othman Omar yang mahu menamatkan khidmat Azmin pada penghujung bulan ini.

Beliau juga meminta PKNS membentangkan dokumen sokongan berhubung keputusan menggugurkan Azmin.

Katanya semua dokumen sokongan berkaitan perlu dikemukakan dan dijelaskan untuk diteliti dalam usaha menyelesaikan kekeliruan yang timbul berikutan pengguguran Anggota Parlimen Gombak itu.