KUALA LUMPUR: Bantuan tunai oleh kerajaan dilihat masih menjadi pilihan utama rakyat di negara ini terutama dalam kalangan penduduk di Penempatan Perumahan Rakyat (PPR) di Lembah Klang.

Menerusi Laporan Meniti Titian Hidup: Memahami Impak Badai Inflasi, majoriti iaitu 58.2 peratus isi rumah yang terkesan akibat daripada peningkatan harga pada masa ini memilih bantuan tunai.

Sementara itu, 41.8 peratus responden cenderung kepada bantuan bukan tunai dengan memilih bantuan barangan.

Kajian lapangan itu turut mendapati, faktor umur mempengaruhi kecenderungan isi rumah untuk memilih di antara instrumen tunai dan bukan tunai.

Ia apabila kumpulan umur 45 tahun ke atas iaitu 67.8 peratus memilih untuk mendapatkan bantuan tunai berbanding hanya 32.2 peratus memilih bantuan barangan.

Faktor umur mempengaruhi kecenderungan isi rumah memilih di antara instrumen tunai dan bukan tunai.

Selain bantuan tunai dan barangan, 94.2 peratus responden turut bersetuju sekiranya pihak kerajaan menyediakan kedai satelit di kawasan kejiranan mereka.

Ini bagi membolehkan isi rumah B40 dan sebahagian M40 mendapatkan barangan keperluan dengan harga yang lebih murah.

Pada masa sama, 85 peratus bersetuju jika diwujudkan kad diskaun atau kad tunai yang membolehkan isi rumah B40 dan M40 menggunakannya bagi mendapatkan barangan keperluan di kedai biasa dengan harga diskaun.

Hasil tinjauan mendapati cadangan mekanisme untuk menyediakan kedai satelit di kawasan kejiranan membolehkan isi rumah terutamanya golongan yang terkesan mendapatkan barangan yang lebih murah berbanding harga pasaran.

Kajian dalam kalangan kelompok berpendapatan B40 dan M40 itu adalah hasil kerjasama strategik antara Persatuan Ekonomi Input-Output Malaysia, Astro Awani dan Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA) dalam membantu menambah baik instrumen dasar menangani kos sara hidup.

Cerapan data menerusi kaedah purposive sampling pada 23 dan 24 Julai lalu melibatkan 120 sampel dijalankan di 27 penempatan di Lembah Klang dengan 18 daripadanya adalah PPR.

Mengikut rekod, Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) 2022 merupakan bantuan tunai langsung tertinggi dalam sejarah.

Sebagai perbandingan, kadar maksimum BKM adalah RM2,600 berbanding Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) sebanyak RM1,200 dan Bantuan Sara Hidup (BSH) sebanyak RM1,480.

Di samping itu, jumlah penerima BKM adalah 8.6 juta berbanding BSH dengan 4.5 juta penerima sahaja lantaran had kelayakan untuk menerima BKM telah dinaikkan daripada berpendapatan RM4,000 ke bawah sebulan untuk BSH kepada RM5,000 ke bawah sebulan untuk BKM.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ini bermakna lebih ramai Keluarga Malaysia layak untuk menerima bantuan, termasuklah sebahagian M40 dan bukan terhad kepada golongan B40 sahaja seperti untuk inisiatif bantuan tunai langsung sebelum ini.

Ia sekali gus memberi gambaran bahawa BKM memanfaatkan golongan B60 apabila daripada 8.6 juta penerima, 4 juta merupakan isi rumah berpasangan, memanfaatkan 12.6 juta dewasa bersamaan 60 peratus penduduk dewasa Malaysia berumur 21 tahun ke atas.

Laporan kajian boleh diperoleh di www.eiom.org