KUALA LUMPUR : Bacaan kedua bagi Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan Anti-Stalking akan dibentang di Dewan Rakyat pada Oktober ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Mas Ermieyati  Samsudin berkata, RUU itu adalah antara yang terawal akan dibentang pada sesi sidang Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Ke-14 tidak lama lagi.

RUU yang terlibat ialah Kanun Keseksaan (Pindaan) 2022 dan Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No.2) 2022.

Sehubungan itu, jelasnya, takwim baharu bagi sesi sidang Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Ke-14  2022 bagi Dewan Rakyat adalah pada 3 Oktober hingga 29 November 2022 (32 hari) dan 21 November hingga 7 Disember 2022 (11 hari) bagi Dewan Negara.

Perubahan takwim kali ini bagi membolehkan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU)
Perbekalan (Belanjawan) 2023 dipercepatkan.