PUTRAJAYA: Badan kehakiman di negara ini tiada mempunyai sebarang agenda lain melainkan untuk menegakkan undang-undang negara.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menegaskan meskipun badan kehakiman sering diserang dengan komen dan kritikan berbaur politik, namun prinsip kebebasan badan kehakiman itu perlu difahami semua pihak.

"Kita tidak ada sebarang agenda tertentu, agenda kita adalah undang-undang, jika kita berasakan undang-undang ini memerlukan keputusan sebegini selaras dengan peruntukan undang-undang, maka begitu keputusan kita.

"Jadi saya harapkan bahawa masyarakat di luar sana memahami struktur dan proses perundangan di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Tahun Pembukaan Tahun Undang-undang 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada Isnin.

Turut hadir, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.

Tengku Maimun turut mengingatkan agar semua pihak memahami proses undang-undang sebelum melontarkan sebarang kenyataan yang menunjukkan ketidakfahaman mereka.

"Fahami dahulu dan bertanya kepada orang-orang yang faham (agar) tidak membuat kenyataan keterlaluan, kadang kala menunjukkan ketidakfahaman itu," katanya lagi.