KUALA LUMPUR:Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun digesa untuk mempertimbangkan penggantungan tugas-tugas Jemaah Menteri dan digantikan dengan pelantikan Kabinet Darurat Khas yang terdiri daripada kementerian-kementerian yang relevan.

Perkara itu dicadangkan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat,  Datuk Seri Azalina Othman Said dalam sepucuk surat kepada Idris yang turut dikongsi dalam Facebooknya hari ini.

Beliau berkata, Kabinet tersebut boleh dibenarkan untuk berfungsi dengan kuasa-kuasa yang terhad sehingga darurat dibatalkan.

"Pada masa yang sama, sebuah Jawatankuasa Parlimen Khas Bipartisan yang terdiri daripada Ahli-ahli Parlimen daripada pembangkang dan juga kerajaan, dipengerusikan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat antara lain, mempertanggungjawabkan menteri-menteri dan bertindak sebagai check and balance," katanya.

Azalina  memberitahu, dalam hal ini, dengan badan perundangan dimandulkan dan aktiviti-aktiviti Jawankuasa Pilihan Khas dibatalkan, maka badan eksekutif dilihat mempunyai kebebasan dalam memerintah negara selagi mana darurat terus berkuat kuasa.

Lebih membimbangkan bagi demokrasi Parlimen di Malaysia, katanya, adalah setiap darurat yang diisytiharkan atau ordinan yang digubal di bawah Perkara 150 tidak boleh dicabar atau dipersoalkan dalam mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan. 

Mengulas lanjut, Azalina berkata,  dengan penggantungan Parlimen, tiada ruang untuk mempertanggungjawabkan Jemaah Menteri, di mana dalam keadaan biasa mereka dipertanggungjawabkan melalui kaedah yang disediakan oleh Parlimen seperti di kamar khas atau waktu pertanyaan menteri.

Pada masa yang sama beliau turut membangkitkan beberapa persoalan seperti berikut:
Azalina memberitahu, hampir semua negara termasuk yang mempunyai kadar kes jangkitan yang lebih tinggi berbanding Malaysia tidak menggantung Parlimen.

Sebaliknya, kata beliau, negera-negara itu termasuk United Kingdom melaksanakan pengubahsuaian teknikal dan prosedur supaya persidangan Parlimen dapat dijalankan dengan selamat dan efisyen.

"Di kala saya menulis kepada Tan Sri (Idrus) atas kapasiti saya sebagai Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, bekas Menteri Undang-undang dan Ahli Parlimen Pengerang, saya diingatkan bahawa Laporan Suruhanjaya Reid pada 1957 membayangkan seorang Peguam Negara sebagai seorang yang memberikan nasihat undang-undang yang bebas kepada kerajaan tanpa rasa takut atau pilih kasih.

"Tidak timbul persoalan bahawa fungsi fungis profesional yang dilaksanakan oleh beliau akan dilaksanakan secara tidak berat sebelah, objektif dan berautonomi," tambah Azalina lagi.