MALAYSIA
BAF 2025 kembali dengan idea segar dan penyertaan lebih besar

Sejak penganjurannya pada 2010, BAF menjadi platform kukuh untuk mengetengahkan keunikan seni dan budaya Borneo. - Foto fail/BERNAMA
LABUAN: Festival Kesenian Borneo (BAF) akan kembali November ini dengan pendekatan baharu dan elemen lebih menarik, sekali gus menjanjikan untuk menjadi antara acara paling diingati pada tahun ini.
Pengerusi Perbadanan Labuan Datuk Mohd Husni Mohamad Salleh berkata edisi ke-12 festival itu bukan sahaja meneruskan legasi meraikan warisan budaya Borneo yang kaya, malah menyuntik ciri baharu bagi menarik khalayak lebih luas serta memperkukuh profil pelancongan Labuan.
"Sejak penganjurannya pada 2010, BAF menjadi platform kukuh untuk mengetengahkan keunikan seni dan budaya Borneo.
"Dengan program baharu tahun ini, kami yakin ia akan membawa tenaga segar, menyuburkan kreativiti dan meletakkan Labuan sebagai hab budaya yang dinamik dalam Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA)," katanya pada majlis prapelancaran festival itu di sini pada Sabtu.Dijadualkan berlangsung dari 13 hingga 17 Nov di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan, festival tahun ini membawa tema 'Warisan Seni Borneo'.
Barisan acara merangkumi persembahan pentas dan seni visual, pertunjukan fesyen, perkampungan etnik, muzik gabungan, pameran seni warisan, demonstrasi gasing tradisional, 'taman rahsia', rasa makanan Borneo, pertandingan kebudayaan serta persembahan langsung oleh artis serantau.
Diiktiraf sebagai acara pelancongan ikonik di bawah kluster BIMP-EAGA, BAF terus menarik penyertaan penggiat seni dan peminat dari Malaysia, Brunei Darussalam, Indonesia dan Filipina.
Selain persembahan, festival itu turut bertujuan menyediakan platform bagi bakat muda, memelihara tradisi budaya serta menjadi titik pertemuan artis serantau.
Penganjur juga berharap program yang diperbaharui ini dapat bertindak sebagai pemangkin kepada pembangunan budaya Labuan dan pertumbuhan ekonomi berasaskan pelancongan.
Edisi 2025 ini mendapat sokongan bersama agensi di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), termasuk Perbadanan Labuan, Perbadanan Putrajaya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu dan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan, dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara, Dewan Bahasa dan Pustaka cawangan Sabah, Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan, selain sokongan pihak berkuasa tempatan serta rakan sektor swasta.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami