Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) 'mencipta sejarah' dengan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang bahasa dan sastera, kata Menteri Pendidikan, Dr Maszlee.

Sambil menyifatkan perkembangan itu sebagai satu langkah ke arah mewujudkan wacana ilmiah, Maszlee berkata, sesungguhnya kerjasama sebegini amat diperlukan bagi memastikan bahasa Melayu menjadi milik bersama.

"Kita sedang mencipta sejarah," kata beliau dalam ucapannya pada Forum Bahasa Jiwa Bangsa 2018. Majlis menandatangani MoU diadakan sempena Forum Bahasa Jiwa dan Bangsa 2018 yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP di sini.

Menurut Maszlee, kerjasama itu diharap berterusan agar bahasa Melayu menjadi milik bersama di Malaysia.

"Perjuangan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bukanlah bermakna menidakkan atau menafikan kepentingan bahasa ibunda kaum lain.

"Berteraskan Perlembagaan, bahasa Melayu merupakan bahasa penyatuan yang telah termaktub dalam Perlembagaan negara, dan semangat Perlembagaan itu mestilah diterjemahkan oleh semua kaum dengan menggunakan bahasa kebangsaan untuk berkomunikasi dalam segenap aspek," katanya.

Beliau turut menyaksikan majlis bersejarah ini bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datuk Mohd Gazali Abas dan Pengerusi Lembaga Pengarah DBP, Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Bagi pihak DBP, MoU ditandatangani oleh Timbalan Ketua Pengarah Dasar DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran dan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Datuk Padilah Ali manakala Dong Zong diwakili oleh Pengerusinya, Tan Tai Kim dan timbalannya, Tan Yew Sing.

Maszlee menyifatkan program itu, yang merupakan kerjasama DBP, Dong Zong dan Inisiatif Pengislahan Pendidikan Nasional (IPPN), sebagai satu langkah ke arah mewujudkan wacana ilmiah yang dapat mengubah persepsi masyarakat pelbagai kaum dalam usaha DBP meneruskan perjuangan memartabatkan bahasa Melayu di Malaysia.

Maszlee juga menyarankan agar lebih banyak aktiviti dan program silang budaya antara Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan dan Sekolah Agama diadkaan bagi mencorak pemikiran generasi masa depan.

Menurut beliau, aktiviti dan program seperti pertukaran murid dan guru, bermain sukan dan persembahan budaya secara bersama, mungkin penawar kepada masalah perhubungan antara kelompok masyarakat berbeza.

"Saya ingin melihat lebih banyak aktiviti-aktiviti silang budaya melihatkan Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Tamil, dan Sekolah Agama diadakan, bagi kita memahami satu sama lain.

"Kita boleh mengadakan program kembar antara sekolah-sekolah ini... kita adakan aktiviti seperti sukan yang mempereratkan hubungan kita," kata beliau.

Dalam pada itu, Tan Tai Kim berkata, pihaknya berharap kerjasama yang semakin erat ini akan menyokong pembelajaran bahasa Melayu dan mengenali kepentingan kepelbagaian budaya.

"Dan yang pentingnya, Dong Zong bersama DBP dan IPPN dapat menganjur bersama Forum Bahasa Jiwa Bangsa, satu jangkauan langkah yang besar bagi semua.

"Kami berharap kerjasama sebegini bukan saja dapat diteruskan, malah dipereratkan," katanya.