Bahasa Melayu, Inggeris sama penting dalam era AI dan digital - PM Anwar

Anwar bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Jamuan Teh Krismas anjuran CFM hari ini. - Gambar Bernama
PETALING JAYA: Kerajaan kekal komited memastikan bahasa Melayu berperanan dengan berkesan sebagai bahasa pengantar serta medium pengetahuan dalam era kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ringkasan AI
- Kerajaan komited memastikan bahasa Melayu berperanan penting dalam era kecerdasan buatan dan teknologi digital, namun pelajar juga perlu mahir bahasa Inggeris untuk kekompetitifan antarabangsa.
- Anwar Ibrahim menekankan pentingnya memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar sambil meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris bagi kelestarian negara dalam konteks global.
- Prinsip bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan akan terus dipertahankan, tetapi anjuran untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris juga ditekankan demi kepentingan negara dalam perdagangan dan teknologi baharu.
"Pada masa sama, kita perlu memastikan generasi muda meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris... demi kelangsungan anak-anak kita dalam dunia global," kata beliau berucap pada Majlis Minum Petang Sempena Krismas anjuran Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusoff.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata ibu bapa daripada semua aliran pendidikan mempunyai hasrat yang sama supaya anak-anak mereka mengusai bahasa Melayu dan Inggeris.
Beliau berkata pendekatan kerajaan bukanlah bersifat "zero-sum game", sebaliknya adalah dasar yang seimbang selaras dengan keutamaan negara dan realiti ekonomi.
"Tahap penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat Malaysia wajar dipuji, namun kita juga perlu mengakui dalam dunia global ini, dengan Malaysia muncul sebagai negara perdagangan penting yang meneroka teknologi baharu, kita perlu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris yang bukan sekadar mata pelajaran tambahan, tetapi juga dengan matlamat untuk menguasai sepenuhnya," kata beliau.
Semalam, Anwar berkata sebarang tuntutan yang menjurus kepada sensitiviti agama, bangsa dan kaum, perlu mengambil kira kedudukan bahasa kebangsaan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata selaku Perdana Menteri, prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung kedudukan bahasa Melayu akan terus didukung dan dipertahankan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


