KUALA LUMPUR: Ketika dunia berdepan gangguan bekalan baja akibat ketegangan geopolitik dan konflik antarabangsa, petani di Malaysia turut merasai kesan, khususnya golongan pekebun kecil yang semakin terhimpit dengan kos yang tidak menentu.
Laporan World Trade Organization menyatakan gangguan bekalan baja global memberi kesan berganda terhadap keselamatan makanan, termasuk kekurangan bekalan dan kenaikan harga.
Advertisement
Di Malaysia, situasi ini semakin ketara kerana negara hanya menghasilkan kira-kira 39 peratus keperluan baja domestik, sekali gus bergantung besar kepada import.
Ketika pelancaran Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030 (DKMN 2030) pada Januari lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menegaskan kepentingan menangani isu ini.
“Apabila kos input meningkat, ia mencetuskan kesan domino yang membawa kepada inflasi harga makanan global.
“Beban ini akhirnya ditanggung oleh rakyat. Kebergantungan kita kepada rantaian bekalan luar menjadikan kita terdedah kepada kejutan ekonomi global,” katanya.
Tekanan semakin meningkat apabila sekatan eksport dari China serta gangguan laluan perkapalan utama seperti Selat Hormuz menyebabkan kos dan tempoh penghantaran baja meningkat mendadak.
Dalam situasi ini, pekebun kecil menjadi antara yang paling terkesan kerana beroperasi dengan margin lebih kecil dan kurang kemampuan menyerap kenaikan kos.
Bagi menangani cabaran ini, Indah Water Konsortium (IWK) tampil dengan penyelesaian alternatif menerusi baja organik berasaskan biosolid daripada loji rawatan kumbahan.
Kajian pra-komersialisasi oleh Indah Water Research Centre (IWRC) mendapati baja ini meningkatkan pertumbuhan tanaman serta kualiti tanah, selain membekalkan nutrien penting seperti nitrogen, fosforus dan kalium tanpa mengesan kehadiran logam berat berbahaya.
Ujian lapangan turut menunjukkan hasil positif apabila pokok kelapa yang terjejas akibat cuaca panas melampau berjaya pulih dalam tempoh lima bulan selepas penggunaan baja organik IWK bersama “plant booster”.
Selain itu, tanaman rumput Napier menunjukkan peningkatan pertumbuhan vegetatif dan penghasilan biojisim.
Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam berkata, penyelesaian ini mampu membantu pekebun kecil mengurangkan kos serta meningkatkan daya tahan tanaman.
“Penyelesaian ini menunjukkan betapa kaya nutriennya baja organik IWK sehingga mampu menyokong pemulihan pekebun kecil dan meningkatkan daya tahan tanaman.
“Malah, dalam ujian di ladang kelapa, baja IWK digunakan sekali setiap dua minggu dan menghasilkan pengurangan kos baja daripada pembekal lain sebanyak kira-kira 68 peratus.
“Ini merupakan kelebihan besar bagi petani yang beroperasi dengan margin terhad.”
“Berbanding bergantung kepada jumlah input konvensional yang tinggi, formulasi baja organik IWK memberi tumpuan kepada aplikasi kaya nutrien bagi memaksimumkan keberkesanan setiap penggunaan,” tambahnya.
Baja organik IWK mengandungi kira-kira tujuh peratus elemen NPK serta membantu memperbaiki keadaan tanah dan mengimbangi keasidan akibat penggunaan baja kimia berpanjangan.
Produk ini juga telah melalui pelbagai ujian keselamatan termasuk kajian toksikologi oleh SIRIM yang mengesahkan ia selamat digunakan.
Menurut Narendran, IWK kini mampu menghasilkan antara empat hingga lima tan baja organik sehari, dengan potensi untuk diperluas ke seluruh Semenanjung Malaysia bagi mengurangkan kos logistik.
“Inisiatif baja organik IWK adalah jelas. Ia menyokong pemuliharaan tanah dengan mengurangkan kebergantungan kepada baja kimia serta menurunkan kos rawatan tanah dalam jangka panjang.
“Ia juga menggalakkan kelestarian alam sekitar melalui kitar semula biosolid dan pengurangan pelupusan sisa di tapak pelupusan, selain memacu ekonomi kitaran dengan menjana nilai daripada sisa kumbahan.
“Namun, satu aspek yang masih memerlukan perhatian ialah penerimaan masyarakat terhadap produk kitar semula ini,” jelasnya.
Walaupun belum mampu memenuhi keperluan ladang berskala besar, baja organik IWK dilihat sebagai alternatif penting, khususnya bagi pekebun kecil dalam menghadapi ketidaktentuan bekalan global dan memastikan kelangsungan sektor pertanian negara.