Terutamanya apabila perniagaan seumpamanya tumbuh bagaikan cendawan, sekali gus mewujudkan persaingan pelbagai produk.
Pengasas produk Ibu Pati Putih JANNA LAWWA, Janna Suzanna, 38, berkata beliau mengambil masa hampir 10 tahun untuk mengembangkan perniagaannya.
Kini, berkat susah payah dan kesabaran yang tinggi, JANNA LAWWA semakin mendapat tempat di hati pengguna terutamanya di Kedah.
Hasilnya, 200 pengedar dan 12 pemborong di seluruh negara telah beroperasi dengan jayanya.
"Kilang kami hanya ada satu di Jitra, Kedah. Banyak pengalaman pahit manis sepanjang saya hendak bangunkannya. Pernah kilang saya ditutup dan kini setelah diiktiraf Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), ia semakin maju.
"Tapi biasalah dalam meniaga ini ada jatuh bangunnya. Bila pelanggan dah yakin, kita punya produk pula dipersoalkan. Malah ada juga yang membuat barangan tiruan," katanya ketika ditemubual wartawan Astro Awani.
Sebagai usahawan wanita yang bermula daripada bawah, beliau amat berharap dalam bajet yang akan diumumkan Perdana Menteri kelak dapat memberikan manfaat kepada usahawan.
Lebih-lebih lagi Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Bumiputera yang dianggap sebagai sukar bertapak kerana kurangnya modal dalam perniagaan.
"Saya harap peruntukan untuk peminjaman dan bantuan kepada IKS dapat diperluaskan. Ia sedikit sebanyak dapat membantu menjana pendapatan usahawan bumiputera," katanya kepada wartawan apabila diminta mengulas mengenai bajet 2015.
Jannah berharap peruntukan dapat diperluaskan dalam sektor IKS - Gambar Fail
Dalam perkembangan berkaitan katanya, untuk berjaya dalam perniagaan, sikap putus asa perlu dikikis sejak awal lagi.
Usahawan wanita itu juga berkata, individu tertentu perlu berani mengambil risiko untuk menceburi dalam bidang perniagaan.
"Saya memang minat terhadap kosmetik kecantikan dan rahsia turun temurun peninggalan nenek saya, saya kongsikan bersama, tapi apa yang penting kita kena uji pada badan kita dulu dan barulah boleh komersialkannya," kata wanita berambut ikal mayang itu.
"Sudah lama terpendam untuk mengusahakan kosmetik sendiri dan Alhamdulillah, penat lelah saya selama ini berhasil," katanya.
Selain mendapatkan sijil Amalan Pengilangan Piawai (GMP) dan kelulusan produk dari KKM antara cabaran besar untuk ditempuhi sepanjang 10 tahun.
Produk Pati Ibu Putih Jannah Lawwa - Gambar Fail
"Pati Ibu Putih JANNAH LAWWA sudah bertapak meluas sejak tiga tahun lalu, saya ada satu kilang sahaja dan kalau ada rezeki lagi saya akan buka lebih banyak kilang lagi," katanya.
Diasaskan pada tahun 2004 dan berpusat di Jitra, Kedah, produk tersebut meliputi produk krim muka dan badan.
Antara yang istimewa ialah sabun buah dengan inti semulajadi digunakan untuk kulit putih gebu kekal.
Ia sesuai dipakai semua jenis kulit lelaki dan wanita.