Negeri yang mempunyai sumber asli yang terhad perlu diberikan peruntukan pembangunan fizikal dalam merancakkan perkembangan sektor ekonomi menjelang pembentangan bajet 2015 pada Oktober ini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata, Melaka yang hanya bergantung harap kepada keupayaan kemahiran tenaga kerja manusianya dilihat memerlukan pengkhususan dana berkenaan.

Ia bagi mengekalkan keseimbangan ekonomi sebagai negeri maju yang kini ke arah transisi pendapatan berasaskan inovasi daripada ekonomi peringkat kedua yang digerakkan oleh faktor kecekapan sumber manusia.

Idris turut memohon Kerajaan Persekutuan supaya melihat Melaka dari sudut kekuatan negeri yang berkeupayaan menyempurnakan projek pembangunan dan kekal menyediakan perkhidmatan terbaik dalam sektor pelancongan.

Katanya, kira-kira RM300 juta direncanakan pada pembentangan Bajet Melaka yang sudah pastinya akan dibelanjakan dengan berhemah.

Beliau berkata, pihak swasta turut perlu diberi perhatian dengan memberikan bantuan dalam bentuk insentif bagi memberi manfaat kepada seluruh rakyat.

“Kita juga dipacu pihak swasta dan pihak swasta juga perlukan bantuan dalam bentuk insentif dan dorongan kerajaan pusat dan saya berharap pembentangan Bajet 2015 ini akan menyebut tentang bagaimana peri pentingnya negeri-negeri yang mempunyai sumber asli ini diberikan perhatian kerajaan pusat menyediakan peruntukan pembangunan,” kata Idris.

Katanya lagi, projek seperti Melaka Gateway melibatkan pelaburan RM40 juta daripada pihak swasta dijangka siap sepenuhnya menjelang 2025 mampu membuka peluang pekerjaan kepada lebih 2,000 rakyat Melaka dalam pelbagai bidang dan meninmgkatkan ekonomi negeri.