Salah satu daripada elemen penting dalam kehidupan seharian rakyat negara ini ialah air. Elemen tersebut jugalah yang telah menduga kesabaran sebahagian besar populasi di beberapa buah bandar dan negeri yang mengalami gangguan bekalan, lebih-lebih lagi dalam insiden ‘kering’ sepanjang tahun ini.

“Bekalan air merupakan elemen penting dalam kehidupan seharian setiap insan dan industri. Sehubungan itu, kerajaan akan menyediakan Pelan Tindakan Air Kebangsaan bagi memastikan kelangsungan bekalan air di seluruh negara untuk jangka panjang,” ujar Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Tun Razak dalam sesi pembentangan Bajet 2015 di Dewan Rakyat hari ini.

Antara langkah yang dilakukan adalah pengurusan sungai secra holistik, pembinaan dan penambahbaikan loji-loji rawatan air.

Selain itu, Kerajaan juga akan mempelbagaikan sumber bekalan melalui penerokaan air bawah tanah, penggunaan semula air terawatt untuk industri dan pertanian serta meluaskan penggunaan storm water retainer system.

“Bagi mengatasi kekurangan bekalan air di Lembah Klang, pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 akan digiatkan dengan penglibatan kos sebanyak RM3 bilion. Ini mampu menambah bekalan air terawat sebanyak 1,130 juta liter sehari,” kata beliau.

Di samping itu, bagi mengatsi masalah kehilangan air tidak berhasil atau non revenue water, sebanyak RM112 juta ringgit diperuntukkan. Ia bagi mewujudkan zon kawalan kebocoran, kerja pengesanan dan pembaikan paip-paip bocor.