KUALA LUMPUR: Usaha mengimbangi jurang pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas antara bandar dan luar bandar perlu diberi penekanan dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat, Jumaat ini (7 Okt).

Dekan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Mohd Fazli Sabri berkata perkara itu penting dalam memastikan perkembangan sosiobudaya rakyat di luar bandar seiring penduduk di bandar yang turut memberi kesan kepada kesejahteraan ekonomi negara.

"Kita tidak boleh lari daripada kenyataan bahawa masih terdapat kawasan luar bandar yang agak ketinggalan dalam menikmati kemudahan asas berkualiti seperti jalan raya, perumahan, bekalan elektrik, udara dan Internet.

"Ini boleh dilihat terutamanya di pedalaman Sabah dan Sarawak dengan penduduk masih menghadapi masalah perhubungan, tiada lampu jalan, jambatan usang dan rosak serta lipatan internet yang tiada atau lemah," katanya.

Justeru beliau berkata Bajet 2023 perlu memastikan akses kepada kemudahan asas di kawasan luar bandar dipertingkatkan bagi membolehkan pengagihan kekayaan yang lebih saksama sekali gus memudahkan pertumbuhan ekonomi setempat.

Mengulas lanjut beliau berkata kerajaan perlu berusaha sedaya upaya dan mengambil tindakan segera dalam memastikan keperluan rakyat itu dipenuhi memandangkan kemudahan asas dianggap hak asasi setiap rakyat Malaysia dan rakyat berhak untuk menikmati kemudahan itu sewajarnya.

Katanya ia juga selaras dengan Dasar Pembangunan Luar Bandar 2030, yang menyasarkan 95 peratus penduduk di luar bandar boleh menikmati kemudahan asas pada 2025.

"Apabila kemudahan asas lengkap, barulah aktiviti ekonomi di luar bandar dapat dirancakkan termasuk keusahawanan serta usaha mengembangkan lagi potensi produk luar bandar ke pasaran lebih luas," katanya.

Senada dengan pandangan itu, Pensyarah Pusat Pengajian Kerajaan, Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS) Universiti Utara Malaysia Prof Madya Dr Azlizan Talib berpendapat bahawa kerajaan perlu berusaha membantu mempelbagaikan sumber ekonomi di luar bandar dengan menawarkan program sokongan untuk rakyat menjana peluang dan potensi.

"Kepelbagaian dalam menjana peluang ekonomi perlu bagi mengatasi isu kemiskinan dan jurang selain kita menyedari banyak potensi dan prospek di luar bandar yang boleh dieksploitasi secara optimum bagi manfaat penduduk tempatan misalnya sumber untuk tujuan pelancongan, industri kecil dan sederhana serta keusahawanan mikro" katanya.

Mengenai masyarakat Orang Asli, Azlizan berkata kerajaan perlu memperbanyakkan pembangunan kawasan penempatan Orang Asli bagi memberi keselesaan kepada mereka di samping memastikan golongan itu tidak ketinggalan menikmati arus kemodenan.

Beliau yang juga Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Indonesia, Thailand dan Singapura (ITS) di bawah Ghazali Shafie Graduate School of Government berkata penempatan yang dibangunkan pula haruslah berdekatan dengan jalan raya serta lokasi yang mempunyai kemudahan yang baik bagi memudahkan mereka mencari pekerjaan.

"Secara rasionalnya, golongan ini bersedia untuk menerima perubahan, terutama generasi kedua dan seterusnya yang lebih berfikiran terbuka dalam menerima pembaharuan yang mampu dibawa oleh sesuatu program pembangunan.

"Usaha ini penting bagi memelihara kaum pribumi yang unik serta mempunyai kreativiti dalam meneruskan kelangsungan hidup mereka yang akan menjadi rujukan terbaik buat generasi akan datang," katanya.

-- BERNAMA