Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kesal dengan tindakan "musuh dari dalam, mahupun luar" yang katanya cuba merosakkan imej negara termasuk dalam kalangan mereka yang disifatkan sebagai api dalam sekam atau gunting dalam lipatan.

"Kita berasa kesal, bahkan sebenarnya kita amat-amat kesal dengan tindak-tanduk tidak bertanggungjawab musuh dari dalam mahupun luar yang cuba mempalit dan merosakkan imej negara ini.

"Pada kita, perbuatan segelintir pihak ini akan hanya memporak-perandakan sampai boleh memusnahkan apa yang terbina selama ini," katanya semasa menutup pembentangan Bajet 2016 di Dewan Rakyat hari ini.

Najib bagaimanapun menyifatkan cabaran itu tidak akan mematahkan usaha kerajaan pimpinannya untuk terus berusaha melakukan apa yang sepatutnya dilakukan.

"Biarpun berjuta gugatan menghalang biar menggunung ombak mendatang, kita tidak akan sesekali berputus harapan," katanya.

Tegas beliau, hanya masa yang akan menilai kebenaran apa yang dilakukan oleh kerajaan pada hari ini.

Perdana Menteri bagaimanapun tidak menyebut secara langsung tindakan merosakkan imej negara yang beliau maksudkan itu.

Dalam ucapannya, Najib turut menekankan apa yang dilakukan oleh kerajaan selama ini mendapat pengiktirafan daripada pengabsah-pengabsah kewibawaan dunia termasuk agensi-agensi kewangan antarabangsa seperti Fitch Ratings, Moody's dan Standard & Poor's yang katanya memberikan gambaran sebenar tentang pengurusan ekonomi negara.

Beliau juga menyebut bagaimana kedudukan Malaysia dalam Laporan Daya Saing Global 2015-2016 oleh Forum Ekonomi Dunia melonjak dua anak tangga kepada kedudukan 18 daripada 140 negara utama ekonomi dunia.

Kepada rakyat, Najib mengingatkan supaya jangan bimbang sebaliknya meletakkan keyakinan yang penuh kepada kerajaan untuk meneruskan rekod pencapaian cemerlang itu.

"Letakkanlah keyakinan… taruhlah harapan bahawa inilah kerajaan yang boleh dibergantung harap demi masa depan hari muka, anak cucu dan keturunan kita," katanya.

Tambah Najib, kerajaannya akan meneruskan perancangan ekonomi neagara dengan mengutamakan serta mendahulukan kesejahteraan rakyat.

Dewan Rakyat akan bersidang semula pada Isnin untuk membahaskan bajet yang dibentangkan oleh Najib ini.