MARANG: Bakal jemaah haji yang tidak melepasi saringan kesihatan yang ditetapkan perlu akur dan patuh dengan keputusan tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata syarat berkenaan telah ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi dan tidak tertakluk kepada Lembaga Tabung Haji (TH).

"Kita (TH) tidak tetapkan syarat itu, kita kena raikan pandangan (syarat) mereka (Arab Saudi) dari sudut kesihatan... Nak elakkan masalah kesihatan seperti COVID-19 dan cuaca di sana juga nanti agak panas.

"Jemaah perlu patuh, bertanyalah pada ahli, tanyalah pada orang yang tahu kalau kamu tidak tahu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Rehlah Till Jannah Siri 1/2022 di Perkampungan Darul Barakah di sini, hari ini.

Menurutnya pada masa ini TH telah mengeluarkan surat tawaran bagi panggilan kedua kumpulan jemaah haji Malaysia musim 2022.

Idris berkata untuk panggilan pertama, lebih 1,000 jemaah terpaksa menolak tawaran disebabkan oleh pelbagai faktor antaranya masalah kesihatan.

Pada tahun ini jemaah haji yang dibenarkan adalah berusia 65 tahun ke bawah, tiada penyakit kronik, mempunyai sijil vaksinasi COVID-19 dan perlu mengemukakan keputusan negatif ujian calitan (PCR) dalam tempoh 72 jam daripada masa berlepas.

Sementara itu mengenai loji penyembelihan Thomas Foods International (TFI) Lobethal, Australia, yang didakwa tidak mematuhi keperluan standard dan prosedur halal Malaysia, katanya pihaknya masih menunggu maklumat rasmi berkaitan isu itu.

"Sebaik sahaja kita dapat maklumat (awal), kita memang sudah hentikan (gantung serta merta kelulusan TFI) sampai siasatan selesai... Tapi kita nak dapatkan maklumat dalam bentuk fakta dan data, tak mahu dalam bentuk khabar angin," katanya.

-- BERNAMA