Skip to main content

Malaysia

Balu mangsa kemalangan maut RXZ Member 8.0 layak terima faedah sepanjang hayat - Perkeso

61708947856_menaraperkeso.jpg
Semakan Skuad Perkeso Prihatin mendapati keempat-empat peserta berusia antara 20 hingga 47 tahun itu adalah pencarum aktif di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4). - Gambar hiasan
Advertisement

KUALA LUMPUR: Waris kepada tiga peserta RXZ Member 8.0 yang maut dalam kemalangan jalan raya pada 31 Julai dan 1 Ogos lepas layak menerima faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) manakala seorang lagi peserta yang cedera turut dilindungi menerusi skim perlindungan berkenaan.

Perkeso dalam kenyataan hari ini memaklumkan semakan Skuad Perkeso Prihatin mendapati keempat-empat peserta berusia antara 20 hingga 47 tahun itu adalah pencarum aktif di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

Kes pertama melibatkan Mohd Fauzi Othman, 44, yang maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas di Kilometer 184.9 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) menghala ke Terengganu pada 31 Julai.

“Menerusi caruman dibuat sepanjang arwah bekerja, waris Allahyarham, iaitu balu dan lima anaknya layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) dan Faedah Pencen Penakat di bawah Skim Keilatan,” menurut kenyataan itu.

Perkeso memaklumkan waris akan menerima FPM sebanyak RM3,000 secara sekali bayar dan Faedah Pencen Penakat berjumlah RM1,794.58 sebulan mengikut syer masing-masing.

Pencen berkenaan akan dibayar kepada balu sepanjang hayat manakala anak-anak layak menerimanya sehingga berusia 21 tahun atau tamat pengajian peringkat ijazah pertama.

Bagi waris Zulkanain Mat Said, 39, yang maut dalam kemalangan di Gambang pada 31 Julai, mereka turut layak menerima FPM sebanyak RM3,000 serta Faedah Pencen Penakat berjumlah RM1,840.13 sebulan mengikut syer masing-masing.

Sementara itu, waris Muhammad Shahrul Mohd Sabri, 20, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 258.6 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) menghala ke Terengganu pada 1 Ogos pula layak menerima FPM dan Faedah Orang Tanggungan (FOT) di bawah Skim LINDUNG 24 Jam.

“Sebagai pencarum aktif LINDUNG 24 Jam di bawah Akta 4, waris beliau layak menerima FPM sebanyak RM3,000 secara sekali bayar serta pencen bulanan menerusi FOT.

Perkeso memaklumkan memandangkan Allahyarham belum berkahwin, FPM sebanyak RM3,000 diberikan secara terus kepada waris manakala FOT berjumlah RM1,115.10 disalurkan mengikut syer masing-masing kepada ibu bapa mangsa seumur hidup serta tiga adiknya sehingga berumur 21 tahun.

Jumlah keseluruhan FOT yang akan diterima waris bagi tempoh sekurang-kurangnya 20 tahun dianggarkan melebihi RM260,000.

Bagi Durulmaizi Salamon, 47, yang cedera pada bahu dan kaki kanan dalam kemalangan di Kilometer 294 LPT2, Kemaman pada 31 Julai, beliau layak menerima Faedah Hilang Upaya Sementara serta Bayaran Ganti Belanja mengikut tempoh cuti sakit dan kos rawatan.

Perkeso memaklumkan suami Durulmaizi yang maut dalam kemalangan sama tidak layak menerima faedah kerana bukan pencarum, namun kes itu dirujuk kepada agensi lain menerusi inisiatif Social Synergy.

Perkeso turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati di jalan raya serta mendapatkan perlindungan menerusi LINDUNG 24 Jam bagi memastikan kebajikan diri dan waris terus terpelihara sekiranya berlaku kemalangan di luar waktu bekerja.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement