LIPIS: Keputusan Kementerian Pertahanan untuk membangunkan Bandar Pertahanan (Defence City) bernilai RM1 bilion di kawasan Kechau, Padang Tengku dekat sini, dijangka merangsang ekonomi domestik dan meningkatkan pendapatan negara serta mengurangkan aliran wang keluar.

Projek berkenaan juga, kata Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, akan membantu mengurangkankan kebergantungan negara kepada syarikat asing sekali gus mengurangkan defisit negara khususnya bagi penjimatan aset serta kelengkapan ketenteraan dan pertahanan.

Bahkan, apa yang paling menggembirakan juga, kata Abdul Rahman ialah, Bandar Pertahanan itu kelak bakal mewujudkan peluang pekerjaan berskala besar kepada hampir 2,000 orang belia tempatan dan negeri ini amnya dalam bidang teknikal, pengurusan dan sebagainya.

"Pembukaan kilang peralatan dan pemasangan jentera berat untuk kegunaan pertahanan antara usaha Kerajaan Persekutuan memberikan kesejahteraan kepada rakyat serta pada masa yang sama mewujudkan pusat pertumbuhan (bandar) di luar bandar berasaskan Revolusi Industri 4.0 di luar bandar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas penyampaian barang keperluan sempena sambutan Aidilfitri kepada 111 penduduk yang kurang berkemampuan di Kampung Gua dan kawasan berdekatan.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri Padang Tengku, Datuk Mustapa Long.

Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis berkata, sebuah kilang lagi, iaitu membuat  komponen jentera berat ketenteraan juga akan dibina dalam masa terdekat di Bera termasuk dalam peruntukan RM1 bilion bagi membekalkan peralatan tersebut untuk dipasang di kilang Bandar Pertahanan Kechau daerah ini.

"Saya berterima kasih kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin  Tun Hussein kerana membawa projek ini ke Lipis. Penghargaan juga diberikan kepasa usaha Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kerana menyediakan tapak seluas 80 hektar untuk tapak kilang ini," katanya.

Katanya, kesemua projek di Lipis dan Bera itu akan diselenggarakan pembinaan dan pengeluaran oleh syarikat tempatan sekali gus membuktikan kemampuan serta kepakaran syarikat berkenaan menyediakan aset kelengkapan ketenteraan dan pertahanan di negara ini.

"Kechau yang terletak kira-kira 35 kilometer dengan bandar Kuala Lipis merupakan kawasan cukup strategik dipilih untuk projek dua buah kilang tersebut kerana berdekatan dengan laluan Central Spine Road (CSR) Lipis ke Bentong kemudiannya dihubungkan oleh Lebuh Raya Karak ke Kuala Lumpur dijangka mengambil masa yang singkat untuk kemudahan pengangkutan alat komponen dan jentera berat,” ujar beliau lagi.