Empat warga Sepanyol hilang selepas bot karam di perairan Indonesia

Sembilan penumpang lain, termasuk dua pelancong Sepanyol, empat kru dan seorang pemandu pelancong, berjaya diselamatkan. - Gambar BASARNAS
Empat warga Sepanyol dilaporkan hilang selepas sebuah bot yang membawa 11 orang karam di perairan Indonesia akibat cuaca buruk pada malam Jumaat, menurut laporan agensi berita Antara.
Sembilan penumpang lain, termasuk dua pelancong Sepanyol, empat kru dan seorang pemandu pelancong, berjaya diselamatkan.
Menurut Jurucakap Operasi Carian dan Penyelamatan Maumere, Fathur, daripada jumlah mangsa yang ditemui, tiga orang (dua pelancong dan seorang pemandu) dijumpai oleh sebuah kapal yang melalui laluan Labuan Bajo ke Pulau Padar dan dibawa ke Pulau Padar.
"Kemudian kami dari pihak Carian dan Penyelamatan Maumere pergi ke Pulau Padar dan menemui empat lagi mangsa selamat, menjadikan jumlah mangsa yang ditemui selamat adalah tujuh orang.
"Setakat ini, operasi masih diteruskan bagi mencari empat individu yang masih hilang, semuanya merupakan warganegara Sepanyol," jelasnya.
Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia (BASARNAS) turut mengeluarkan rakaman video operasi menyelamat yang menunjukkan mangsa diselamatkan berhampiran Pulau Padar, Labuan Bajo destinasi pelancongan popular.
Menurut pihak berkuasa pelabuhan, bot tersebut terbalik selepas dilanda ombak setinggi tiga meter di Selat Pulau Padar.
Operasi mencari empat mangsa yang masih hilang diteruskan dengan bantuan pasukan penyelamat tempatan, sementara pihak berkuasa terus memantau keadaan laut bagi memastikan keselamatan operasi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


