MELAKA: Gagal pengajian pada peringkat asasi kejuruteraan di sebuah universiti terkemuka di ibu negara bukan noktah buat Nurin Aris, 24, untuk menggenggam segulung ijazah sekali gus dinobat sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja pada Majlis Konvokesyen ke-16 Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) hari ini.

Nurin yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Teknousahawanan dengan kepujian dan memperoleh purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.82 berkata peluang kedua yang diberikan UTeM untuk beliau melanjutkan pengajian dalam bidang teknousahawan tidak disia-siakannya.

"Saya pernah gagal dalam pengajian ketika di peringkat asasi apabila memperoleh CGPA di bawah 3.0 sehingga menyukarkan saya melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan di universiti sama.

"Tapi alhamdulillah UTeM memberi saya peluang untuk menceburi bidang baharu dan saya berjaya membuktikan bahawa saya boleh bangkit setelah gagal dalam pengajian di peringkat asasi," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas sesi pertama Majlis Konvokesyen ke-16 UTeM di sini hari ini.

Anak sulung daripada tiga adik-beradik itu berkata ibu Nor Azmah Othman, 51, dan bapanya Aris Tusimin, 51, merupakan insan yang banyak memberi semangat dan berkorban wang ringgit untuknya bangkit daripada kegagalan lepas dan beliau kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Sains Pengurusan Teknologi di UTeM selama dua tahun lagi.

Anak kelahiran Banting, Selangor itu berkata menerusi jurusan teknousahawanan yang diikuti, beliau turut dibimbing untuk menceburi bidang keusahawanan dan kini dalam proses membuka perniagaan tudung dalam masa terdekat.

Mengulas kegagalannya sebelum ini, pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam itu berkata beliau gagal melihat potensi sebenar diri sendiri dan pemikirannya tidak terbuka untuk menyambung pengajian dalam bidang lain selain sains.

"Saya lahir dalam keluarga belajar dalam aliran sains dan saya sendiri merupakan pelajar Sains Tulen dari Sekolah Menengah Sains Seri Puteri namun UTeM berjaya merubah pemikiran saya," katanya yang memulakan pengajiannya di UTeM pada 2016.

Sementara itu, seorang lagi penerima Anugerah Pelajaran Diraja Chuan Chuan You, 24, berkata pengalaman menyertai pelbagai pertandingan reka cipta di dalam dan luar negara banyak membantunya sepanjang pengajiannya di Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK).

Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Pengurusan Pangkalan Data) dengan kepujian CGPA 3.89 itu berkata fokus pada setiap tugasan yang diberikan pensyarah merupakan kunci utama kejayaan yang diperolehnya.

"Pensyarah juga banyak memberi bantuan dan tunjuk ajar kepada saya sekiranya berdepan dengan subjek atau kesukaran dalam pengajian dan terima kasih saya ucapkan kepada mereka," kata anak kelahiran Johor Bahru, Johor yang kini bekerja sebagai 'mobile application developer' di sebuah syarikat pembangunan sistem sumber manusia.

Terdahulu, kedua-dua pelajar berkenaan menerima Anugerah Pelajaran Diraja yang disampaikan Canselor UTeM yang juga Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan majlis berkenaan turut dihadiri Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Majlis konvokesyen yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini membabitkan 2,979 graduan daripada peringkat diploma, sarjana muda, sarjana, ijazah doktor falsafah (PhD) dan ijazah doktor kejuruteraan.

-- BERNAMA