BATU PAHAT: Johor mempunyai potensi menjadi pengeluar makanan terbesar di negara ini, kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jelas Ahli Parlimen Pagoh itu, setakat ini negeri itu menjadi pengeluar utama bekalan bahan makanan berbanding negeri lain, selain beberapa sektor seperti agromakanan juga dilihat mampu dikembangkan.

Justeru, Muhyiddin menegaskan sektor pertanian antara yang menjadi keutamaan dalam ikrar PN Untuk Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu (12 Mac) ini.

“Ada kawasan tanah-tanah pertanian yang belum dibangunkan tetapi nak dibangunkan secara teknologi moden (bagi) kurangkan penggunaan tenaga manusia.
BACA SEMUA BERHUBUNG PRN JOHOR DI SINI 




“Keduanya, kita nak menentukan supaya bukan sahaja sektor tanaman, tetapi sektor-sektor lain seperti tenusu, perikanan, dan perikanan air tawar (dibangunkan). Dia banyak bidang kecil yang saya lihat ada potensi besar,” katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program MAFI & Majlis Pemulihan Negara Bersama Komuniti Agromakanan di Sri Medan, di sini.

Hadir sama Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ronald Kiandee.

Mengulas lanjut, bekas Perdana Menteri itu berkata, Malaysia juga perlu menjadi pengeluar bahan makanan bagi menampung keperluan negara sekiranya berlaku lagi krisis kesihatan.

Selain itu, Muhyiddin menambah usahawan-usahawan tani muda perlu dilatih bagi menampung keperluan sektor agromakanan dan mengambil alih bidang tersebut pada masa akan datang.

Ini kerana katanya, sebahagian besar mereka yang terlibat dalam sektor pertanian telah pun mencecah usia 60 tahun ke atas.

"Jadi dalam ikrar kita ini, satu daripada perkara yang kita akan laksanakan termasuk bantuan-bantuan infrastruktur di sektor pertanian, (sama ada) jalan, atau pemparitan.

"(Kemudahan) itu yang lepas sudah dibuat tetapi untuk tingkatkan hasil pengeluaran, kita perlu lebih tingkatkan usaha-usaha dalam bidang itu," ujarnya lagi.

PN sebelum ini melancarkan Ikrar PN Untuk Johor, berteraskan lapan tunjang utama dan berpacukan 24 strategi serta berlandaskan 145 pendekatan.

Lapan tunjang tersebut ialah kepemimpinan berintegriti dan bebas, keutuhan ekonomi Johor, keutamaan tangani kos sara hidup, keprihatinan kepada rakyat, kesejahteraan sosial, kecekapan infrastruktur, merancakkan sektor pelancongan dan kelestarian alam sekitar.

Pada PRN Johor kali ini, PN meletakkan calon di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).