Skip to main content

Malaysia

Program ADI ubah kehidupan, bekas penagih genggam diploma

Program Akedemik dalam industri_BERNAMA
Mohd Rasli berkata kejayaan manis itu dikecapi selepas dia menyertai program ADI di sebuah pusat pemulihan dadah persendirian iaitu Rumah Rakan Islah, Setiu, Terengganu. - Gambar Bernama
Advertisement

KOTA BHARU: Pernah terjerumus dalam kancah penyalahgunaan dadah hingga masa depannya diselubungi kegelapan, namun berbekalkan keazaman Mohd Rasli Hassan, 52, bangkit mengubah kehidupan hingga berjaya menggenggam segulung diploma, sesuatu yang tidak pernah dibayangkannya suatu ketika dahulu.

Mohd Rasli berkata kejayaan manis itu dikecapi selepas dia menyertai program Akademi Dalam Industri (ADI) di sebuah pusat pemulihan dadah persendirian iaitu Rumah Rakan Islah, Setiu, Terengganu. 

"Semasa menyertai program ADI selama setahun pada tahun lepas di pusat pemulihan tersebut, banyak ilmu serta kemahiran diperoleh termasuk dalam bidang pertanian dan sebagainya.

"Kejayaan ini menjadi bukti bahawa setiap individu berhak diberi peluang kedua, selain dapat membina semula keyakinan diri, mengubah cara berfikir dan menanam azam untuk mencipta masa depan yang lebih baik," katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Mohd Rasli yang memiliki sijil Profesional Diploma Dalam Jurulatih Pemulihan Ketagihan Dadah itu berkata kejayaan tersebut turut menjadi titik perubahan terbesar dalam hidupnya, sekali gus membuktikan bahawa masa silam tidak menentukan masa depan seseorang.

"Saya mula terjebak dengan penyalahgunaan dadah sewaktu berusia 11 tahun ketika menetap di Pasir Mas, Kelantan dan perbuatan itu diketahui keluarga lapan tahun kemudian selepas ditangkap polis.

"Saya kemudiannya ditempatkan di Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kuala Terengganu, Terengganu selama tujuh bulan sebelum menjadi Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) di pusat pemulihan tersebut pada 2017 hingga 2024," katanya yang kini dilantik sebagai jurulatih pemulihan di Rumah Rakan Islah.

Mohd Rasli berkata program yang menggabungkan pembelajaran berasaskan industri dan latihan itu bukan sahaja melahirkan tenaga kerja berkemahiran, malah menjadi platform transformasi sosial kepada golongan memerlukan peluang kedua untuk kembali berdikari dan menyumbang kepada masyarakat.

Bagi Pengarah Akademik yang juga merupakan pengurus di pusat pemulihan berkenaan Muhammad Anas Mohd Nasar berkata syarat yang ditetapkan untuk menyertai program ADI dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah peserta itu mesti bebas dan pulih daripada penyalahgunaan dadah dalam tempoh lima tahun ke atas dan bersedia untuk bekerja serta menerima latihan daripada pihaknya.

Beliau berkata berdasarkan modul dan kemahiran diberikan, sebanyak 10 peserta berjaya menamatkan pengajian dan mendapat sijil diploma dalam bidang tersebut.

"Sebenarnya apa yang diajar dalam silibus program ADI ini telah kami praktik sebelum ini, cuma bukan ditulis di dalam buku, kami buat berdasarkan pengalaman dan mesyuarat.

"Apabila menjadi buku, kita mempunyai enam modul seperti Kaedah dan Terapi untuk pemulihan, ia kelihatan lebih teratur serta sistematik bermula dari waktu mereka masuk ke tempat ini hingga tamat rawatan dan bekerja," katanya yang menambah pusat pemulihan itu ditubuhkan pada 2011. 

Beliau berkata ADI telah berjaya membentuk keyakinan para peserta untuk memajukan diri dalam mengubah kehidupan mereka agar lebih berani berdepan dengan cabaran hidup berbekalkan ilmu dan kemahiran yang dimiliki selepas menyertai program ini.

"Selain program ADI, kami juga turut menyertai program dianjurkan Malaysian Substance Abuse Council (MASAC) dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM)," katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement