SEREMBAN: Sebanyak 10 pusat pemindahan sementara (PPS) baharu dibuka di Negeri Sembilan hari ini bagi menempatkan 239 mangsa banjir yang terjejas susulan hujan lebat sejak semalam.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan, Left Kolonel (PA) Mohd Syukri Madnor berkata, kesemua mangsa itu melibatkan empat daerah di negeri berkenaan.

Jelasnya, pembukaan 10 PPS baharu tersebut menjadikan 11 PPS kini aktif di negeri itu termasuk sebuah PPS yang masih belum ditutup sejak banjir gelombang pertama sebelum ini.

Antara daerah yang terjejas ialah daerah Jelebu, Jempol, Kuala Pilah dan Tampin.

Katanya, sehingga kini empat PPS dibuka di daerah Jempol dan Tampin, satu PPS di daerah Jelebu dan dua PPS di daerah Kuala Pilah.

BACA LAPOR LANGSUNG BERHUBUNG BENCANA BANJIR 2021 DI SINI

Di Tampin, empat PPS berkenaan ialah di  Sekolah Kebangsaan (SK) Keru, Surau Kampung Gedok, Sekolah Agama Rakyat Felda 4 dan Dewan Semarak Air Kuning membabitkan 91 mangsa daripada 25 keluarga.

Dua PPS baharu dibuka di Kuala Pilah iaitu di SK Kuala Pilah dan Dewan Desa Dangi yang menempatkan 16 keluarga membabitkan 55 individu.

Di Jempol, empat PPS dibuka iaitu SK Felda Palong 1, Balai Raya Kampung Baru Rompin, Balai Raya Kampung Dato Johan dan Dewan Orang Ramai Jelai membabitkan 64 mangsa daripada 16 keluarga.

Manakala di Jelebu, PPS yang masih aktif  di balai raya Kampung Puom yang menempatkan seramai 29 mangsa.