Banjir: 15 pusat pemindahan kekal dibina di seluruh negara - NADMA

Hussain (tengah) menyaksikan penyerahan replika kunci projek Pusat Kawalan Bencana Negeri (SDCC) Terengganu di Batu Buruk hari ini. - Gambar Bernama
KUALA TERENGGANU: Sebanyak 15 pusat pemindahan kekal bencana (PPKB) yang lengkap dengan kemudahan asas kini dalam proses pembinaan di seluruh negara bagi kemudahan penduduk yang terjejas bencana.
Ringkasan AI
- 15 pusat pemindahan kekal bencana (PPKB) sedang dibina di seluruh negara untuk kemudahan penduduk terjejas bencana, dengan kos pembinaan kira-kira RM8 juta setiap bangunan.
- PPKB dijadualkan siap pada awal tahun depan, dengan kemampuan menampung sehingga 500 mangsa banjir dan dilengkapi kemudahan mesra OKU, warga emas, ruang rehat, dan perubatan.
- Pembinaan PPKB bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada sekolah sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) dan memastikan keselesaan mangsa serta kelancaran operasi, selaras dengan usaha Kerajaan MADANI untuk kesiapsiagaan bencana.
"Bagi projek PPKB di SK Banggol Peradong mungkin akan siap Julai tahun depan manakala menaik taraf PPS yang sedia ada, iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matang telah siap dan mungkin dapat digunakan sepenuhnya sekiranya banjir berlaku pada musim tengkujuh kali ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Pusat Kawalan Bencana Negeri (SDCC) Negeri Terengganu di sini hari ini.
Hussain berkata kos pembinaan PPKB itu melibatkan kira-kira RM8 juta bagi setiap bangunan, bergantung kepada keadaan tapak dan keperluan di negeri masing-masing.
Beliau berkata setiap PPKB yang sedang dibangunkan ketika ini mampu menampung sehingga 500 mangsa banjir apabila siap sepenuhnya bagi memastikan keselesaan dan kelancaran operasi.
Hussain berkata kapasiti itu ditetapkan bagi memastikan kemudahan yang disediakan dapat digunakan dengan selesa termasuk kemudahan mesra Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas, ruang rehat petugas, kawasan makan, surau serta lokasi rawatan perubatan.
Menurut beliau, pembinaan PPKB juga dapat mengurangkan kebergantungan kepada sekolah sebagai PPS, sekali gus mengelakkan gangguan terhadap sesi persekolahan terutama ketika musim peperiksaan.
"Kalau boleh kita tidak mahu mengganggu perjalanan harian sekolah kerana lebih 50 peratus PPS adalah sekolah. Apabila berlaku banjir, ia memberi kesan kepada sesi persekolahan termasuk peperiksaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), maka sebab itu kita bina PPKB bagi mengurangkan gangguan berkenaan," katanya.
Hussain berkata NADMA bersama semua agensi perkhidmatan berkaitan termasuk Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah telah berada dalam siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana banjir.
Pada majlis itu, Hussain turut menyaksikan penyerahan SDCC Terengganu yang telah siap dibina melibatkan pembinaan bangunan dan pengubahsuaian ruang, pembekalan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan audio visual serta perabot.
SDCC itu merupakan usaha berterusan Kerajaan MADANI dalam merancang kesiapsiagaan bagi menguruskan bencana lebih efisien dan sistematik melibatkan kerjasama semua pihak di peringkat negeri untuk melindungi nyawa dan harta benda.
Sementara itu, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Terengganu dalam kenyataan memaklumkan Kerajaan MADANI telah menyalurkan peruntukkan keseluruhan berjumlah RM26.5 juta bagi pengurusan bencana di negeri ini terutama dalam menghadapi Monsun Timur Laut setiap tahun.
Kenyataan itu memaklumkan ia turut merangkumi pelaksanaan projek pemulihan infrastruktur asas akibat bencana melibatkan 317 projek kecil bernilai RM200,000 dan ke bawah di seluruh Terengganu.
-- BERNAMA
Dapatkan info, ramalan cuaca dan berita terkini di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

