SEPANG: Koperal Muhsen Bujang, 34, sedang menjalankan tugasnya di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Taman Gemilang pada 18 Dis ketika menerima panggilan dari isterinya bahawa kediaman mereka di Kampung Cemperai di sini dinaiki air.

Anggota dari Balai Polis Dengkil itu berkata beliau yang tiba di rumah kira-kira setengah jam selepas itu mendapati air telah naik sehingga paras lutut dan hanya mampu menyelamatkan dokumen penting dan keluarganya memandangkan air naik terlalu cepat.

"Saya gunakan bot untuk ke rumah ketika itu, dan sebelum itu isteri sempat mengalihkan kereta manakala motosikal saya terperangkap di kawasan rumah," kata bapa tiga anak itu kepada pemberita selepas menerima sumbangan mangsa banjir daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini, hari ini.

[LAPOR LANGSUNG] Banjir: Jumlah mangsa di empat negeri catat penurunan

Muhsen merupakan salah seorang daripada 39 warga IPD Sepang yang terjejas akibat banjir pada 19 Dis lepas dan rata-rata mereka adalah dari kawasan Dengkil, Kampung Labu Lanjut, dan Kampung Cemperai.

Kata Muhsen, hampir 90 peratus barangan dalam rumah rosak dan tidak dapat diselamatkan memandangkan air naik setinggi lapan kaki (2.4 meter) dan ketika ini air telah surut dan beliau masih bercuti untuk mengemas rumahnya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof menyampaikan sumbangan barangan berupa tilam dan bantal, makanan, dapur gas, peralatan mencuci rumah beserta wang tunai hasil kutipan dari warga IPD Sepang kepada kesemua 39 mangsa.

"Kita dapat kumpul wang sebanyak RM12,500 manakala sumbangan barangan adalah daripada syarikat korporat, orang persendirian dan badan bukan kerajaan," katanya.

Wan Kamarul Azran yang turut bersimpati dengan anggota yang terkesan banjir berkata atas budi bicara dan dasar prihatin, mereka diberi cuti pelepasan mengikut keperluan bagi kerja pembersihan di rumah masing-masing.

"Apabila banjir bermula Jumaat (17 Dis), kita sendiri perlu bantu masyarakat yang terjejas dan selepas seminggu, kami mula fokus pada anggota sendiri yang juga mangsa banjir," katanya.

Sepang merupakan salah satu kawasan yang terjejas teruk akibat banjir dan sehingga kini dua mangsa masing-masing ditemukan lemas di Flat Taman Permata, Dengkil dan Bandar Baru Salak Tinggi.

-- BERNAMA