PEDU: Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid menegaskan, beliau tidak mahu diheret dalam pertikaian dua lagi bekas Menteri Besar berhubung isu penerokaan Gunung Inas yang dikatakan menjadi punca kejadian banjir dan kepala air di Kupang, Baling, minggu lalu.

Menurut Mahdzir, nama beliau yang memegang jawatan Menteri Besar Kedah dari tahun 2005 hingga 2008 juga tidak berada dalam senarai individu yang didakwa terlibat atau terbabit dalam kontroversi berkenaan.

"Tak payah tanya (saya), biar dia orang 'bergaduh' (penerokaan Gunung Inas) nama saya tak ada dalam (senarai) itu.

"Sudahlah (kaitkan saya dengan isu ini), jangan pandai-pandai (mereka cerita) pula, biarlah dia orang 'bergaduh', cerita itu (penerokaan Gunung Inas) cerita kemudian (berlaku selepas penggal pentadbiran saya)," kata Mahdzir.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Taklimat Khas Projek PROSPEK Pedu di Kampung Padang Setul, Padang Terap, di sini, pada Khamis.

Semalam, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan bahawa tidak akan sesekali terlibat dalam 'blame game' yang dimainkan pihak tertentu berhubung isu tragedi kepala air dan banjir yang berlaku di Kupang, Baling.

Beliau juga enggan mengulas lanjut berhubung kenyataan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang menyatakan tanaman durian Musang King Gunung Inas yang dilaksanakan ketika zaman pemerintahan seorang lagi bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah.