MALAYSIA
Alumni belia perlu gabung di bawah majlis konsultasi - Adam Adli

Adam Adli dan Presiden Alumni 4B Malaysia, Datuk Syed Azmi Syed Nazir Al Hussaini bergambar bersama para penerima anugerah pada Majlis Gala Dinner dan Anugerah Inspirasi Harmoni Klasik 2025 di Kuala Lumpur, pada Sabtu. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Persatuan alumni belia wajar disatukan di bawah satu majlis konsultasi bagi membolehkan mereka berperanan lebih aktif sebagai jambatan dalam menyampaikan suara rakyat kepada Kerajaan MADANI.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim berkata, cadangan itu akan dikemukakan kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam usaha memperkasa peranan alumni belia secara menyeluruh.
"Sudah tiba masanya kita wujudkan inisiatif baharu yang menghimpunkan alumni pertubuhan belia dalam satu majlis konsultasi bagi membolehkan mereka bersama-sama membantu mengemudi hala tuju Kementerian Belia dan Sukan (KBS)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jamuan Makan Malam Gala dan Anugerah Inspirasi Harmoni Klasik 2025 sempena Perhimpunan Agung Tahunan Alumni 4B Malaysia, di sini, pada Sabtu.Adam Adli berkata, beliau turut berharap cadangan itu akan mendapat sokongan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Pertubuhan Belia 4B sudah memainkan peranan penting sejak lebih lima dekad dalam mencetak bukan sahaja aktivis, malah pemimpin akar umbi yang memahami denyut nadi masyarakat.
"Bergerak dari kampung ke kota meniup semboyan 4B -- ilmu, disiplin, bersatu dan berbakti --, ini yang menjadi suluhan dalam menerangi jalan buat ramai anak bangsa,"katanya.
Menurutnya meskipun zaman sudah berubah dan golongan muda lebih tertarik kepada gajet dan dunia digital, semangat perjuangan pertubuhan belia tetap boleh disesuaikan dengan kehendak semasa.
"Saya membesar di bandar , namun tetap ingat bagaimana kehadiran Belia 4B amat kukuh dan diterima masyarakat, sama ada di Melaka atau Pulau Pinang. Kini, cabaran kita ialah untuk menyesuaikan pendekatan agar terus relevan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami