KUALA LUMPUR: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) tidak menolak kemungkinan kolam takungan yang dibina berdekatan puncak Gunung Inas menjadi punca kepada kejadian banjir dan kepala air di Baling, Kedah baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, itu merupakan antara beberapa punca yang dikesan hasil kajian awal yang dilaksanakan oleh kementerian tersebut.

Tambah beliau, keadaan itu diperkukuhkan lagi dengan berlaku peningkatan kadar air antara 0.2 meter dan 3.0 meter di kampung-kampung terlibat.

"Kajian yang dibuat oleh pihak KASA berhubung dengan punca berlaku banjir ataupun kepala air di Baling baru-baru ini mendapati bahawa beberapa kemungkinan berlaku sebab kadar hujan yang turun tidak lebat.

"Kalau kita lihat kadarnya hanya sekadar 40 milimeter (mm) manakala stesen Kampung Iboi merekodkan 36mm. Tetapi ia mungkin berpunca daripada kolam takungan yang dibina di atas kawasan pertanian tersebut yang mungkin pecah dan kajian yang dijalankan di peringkat awal mendapati ada satu kolam takungan yang pecah yang memungkinkan berlakunya banjir atau kepala air," katanya pada sesi Pertanyaan Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Tuan Ibrahim (Kubang Kerian-Pas) berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan RSN Rayer (Jelutong-PH) mengenai situasi banjir di Gunung Inas, Baling.

Mengulas lanjut, beliau berkata, langkah-langkah segera telah diambil bagi mengekang kejadian tersebut berulang,

Dalam usaha itu, kerajaan, kata Tuan Ibrahim, telah meluluskan enam projek termasuk membabitkan pembinaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) fasa satu dan dua di Baling dengan peruntukan RM175 juta.

Selain itu, jelas beliau, dua struktur sabo akan turut dibina selain kerja-kerja mendalamkan sungai serta pembaikan jambatan dengan peruntukan masing-masing sebanyak RM20 juta dan RM6 juta.

Pada 4 Julai lalu, tiga mangsa terkorban dalam kejadian banjir dan kepala air di Kampung Iboi, Kupang, Baling selepas rumah mereka hilang dihanyutkan arus deras.