BALING: Penduduk kampung yang terjejas teruk akibat kejadian banjir dan fenomena kepala air di daerah ini menzahirkan kelegaan selepas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bantuan awal kepada mangsa banjir di Baling dengan peruntukan sebanyak RM500,000 pada Selasa.

Rata-rata mangsa banjir yang ditemui Bernama di Kampung Tanjung dan Kampung Iboi dekat sini menyatakan kegembiraan dengan bantuan itu namun pada masa sama memohon kerajaan memudahkan proses untuk mendapatkan bantuan berkenaan.

Salah seorang penduduk Kampung Tanjung Norhazilah Mat Daud, 47, berkata bantuan awal itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarganya menghadapi kesan bencana itu kerana kebanyakan barangan perabot dan elektrik rumah serta kelengkapan persekolahan empat anaknya rosak dalam kejadian itu.

"Saya berterima kasihlah kepada kerajaan sebab bagi bantuan awal ini. Harap dapatlah membantu kami ini yang banyak barang rumah rosak, baju dan buku sekolah anak-anak pun habis semua tidak boleh pakai dah, rosak. Kami tak sempat nak ubah ke tempat selamat sebab air datang naik dengan sekelip mata," katanya.

Bantuan awal kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) itu meliputi Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000, bantuan barangan keperluan asas sebanyak RM2,500, bantuan barangan elektrik sebanyak RM500 dan pembaikan rumah.

Norhazilah berkata tambahan pula suaminya hanya bekerja kampung serta tidak boleh melakukan kerja berat kerana sakit jantung dan pengumuman bantuan awal itu menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap nasib rakyat yang sedang menghadapi musibah.

Sementara itu, penduduk Kampung Iboi Norhayati Ismail, 38, yang rumahnya rosak teruk sehingga tidak boleh didiami lagi berkata dia berasa bersyukur dengan adanya bantuan awal sedemikian kerana berhasrat ingin menggunakan wang bantuan itu membeli pakaian dan makanan untuk keluarganya.

"Saya berasa lega kalau dapat bantuan ini. Tetapi saya mohon urusan nak dapat bantuan ini dipermudahkan sebab kami IC (kad pengenalan) pun hilang dalam banjir ini, motosikal nak ulang alik pun tak ada. Jadi susah untuk kami bergerak," katanya.

Keadaan sebuah kereta musnah dibawa arus sungai di Kampung Iboi selepas Baling dilanda banjir petang Isnin, ketika tinjauan semalam. --fotoBERNAMA

Seorang lagi penduduk Kampung Iboi Norhasimah Ismail, 54, yang kehilangan rumah selepas dihanyutkan arus deras dalam bencana itu berterima kasih kepada kerajaan atas pengumuman bantuan awal itu sekali gus sedikit sebanyak menggembirakan hatinya yang telah kehilangan tempat tinggal.

"Walaupun rumah dah tak ada, hilang habis semua barang dan duit dalam rumah, tetapi saya bersyukur yang nyawa saya sekeluarga selamat...dengan bantuan ini mungkin saya boleh mulakan dengan membeli dua tiang rumah dulu, jadi permulaan untuk saya teruskan kehidupan, mulakan dengan sedikit dulu," katanya.

Dia reda dengan ujian yang menimpa dirinya sekeluarga meskipun kehilangan sebuah rumah selain kelengkapan persediaan anak lelakinya berumur 18 tahun untuk menyambung pengajian di sebuah kolej kemahiran di Pulau Pinang pada 16 Julai nanti seperti komputer riba dan telefon bimbit baharu hilang dalam banjir itu.

Ketua Kampung Iboi Nor Mohamad Che Hussain pula berkata sumbangan yang diumumkan Perdana Menteri semalam selain bantuan daripada kementerian dan kerajaan negeri sedikit sebanyak membantu meringankan beban mangsa banjir.

"Bantuan ini sekurang-kurangnya dapat membantu mereka membeli peralatan rumah yang dihanyutkan air serta membaiki kediaman yang rosak akibat banjir, " katanya katanya ketika ditemui Bernama di kampung itu hari ini.

Sementara itu, Penghulu Mukim Kupang, Badrol Hisham Che Li berkata, bantuan awal seperti sumbangan wang tunai RM1,000 serta bantuan lain boleh membantu keluarga terlibat menghadapi kehidupan pasca banjir.

"Kebanyakan rumah yang terjejas banjir, boleh dikatakan kerugian seluruh, tiada apa yang dapat diselamatkan. Dengan bantuan itu dapat juga ringankan beban mereka terutamanya menjelang sambutan Aidiladha nanti," katanya.

Keadaan rumah di Kampung Iboi yang rosak teruk selepas dilanda banjir petang Isnin ketika tinjauan semalam. --fotoBERNAMA

Reaksi sama turut dikongsi Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang turut memuji tindakan pantas Ismail Sabri menghulurkan bantuan awal kepada mangsa banjir.

"Walaupun beliau berada di luar negara atas urusan rasmi, beliau membuat keputusan yang begitu cepat dan hari ini orang Baling sudah mula mendapat manfaatnya. Sumbangan daripada agensi-agensi lain juga sudah mulai turun bagi membantu mangsa banjir di daerah ini," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kebajikan Kedah Datuk Halimaton Shaadiah Saad pula berharap agar sumbangan awal tersebut dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh mangsa banjir.

"Mungkin mereka boleh gunakan untuk membeli barang keperluan tertentu yang belum lagi disumbangkan kepada mereka," katanya.

Sejumlah 12 kampung terdiri daripada 627 penduduk terjejas akibat banjir itu dengan 15 rumah rosak teruk sehingga tidak boleh didiami lagi selain meragut tiga nyawa.

-- BERNAMA