BALING: Penduduk Kampung Iboi akhirnya boleh menarik nafas lega apabila jambatan sementara yang dibina bagi menggantikan jambatan konkrit sedia ada di kampung berkenaan yang musnah dihanyutkan arus deras dalam kejadian kepala air dan banjir Isnin lalu, akan disiapkan esok.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Iboi, Abu Hassan Samah menjelaskan ia sedikit sebanyak akan memudahkan aktiviti seharian penduduk kampung terutama ketika sambutan Hari Raya Aidiladha, Ahad depan.

Pembinaan jambatan itu juga jelasnya akan memberi manfaat kepada hampir 3,000 penduduk di kawasan sekitar termasuk Kampung Masjid Iboi, Kampung Bok Bak dan Kampung Tanjung Luas khususnya melibatkan urusan persekolahan dan untuk ke masjid berdekatan.

"Bagi saya amat berterima kasih kepada pihak kerajaan kerananl mempercepatkan jabatan sementara ini untuk penduduk kampung berulang alik, bagi penduduk nak ke sekolah dan nak ke masjid.

"Kalau tidak ada jambatan sementara ini, penduduk nak ke sekolah, nak kena pusing sebelah Bokbak pergi ikut Kuala Kuar, Padang Tiak dan balik ke sini. Mungkin masa dia 15 atau 20 minit berbanding sini nak pergi sekolah tidak sampai 5 minit," katanya.

Sementara itu, bagi penduduk, pembinaan jambatan sementara berkenaan turut akan memendekkan jarak perjalanan yang mana mereka terpaksa menggunakan jalan alternatif dengan jarak lebih 10 kilometer berbanding laluan biasa.

"Memang mudahkan untuk hantar anak pergi sekolah, masjid ada sebelah sana, boleh pergi sembahyang Jumaat, macam nak sambut raya ini mudahlah, tak kena ulang alik.

"Kalai tidak kena ikut Kuala Kuang, ikut hujung sana, dari sini ke simpang sana sudah 2 kilometer, 6 ke 7 kilometer, menjimatkan masa dan memudahkan, memang nak kena buat jambatan konkrit, ini sementara sahaja," kata seorang kontrator, Mohamad Noor Abdul Rahman.

Dalam perkembangan sama, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman ketika dihubungi Astro AWANI memaklumkan, bahawa jambatan keluli bermodular 'Old Bailey Bridge' itu mula dipasang pada Khamis dijangka boleh digunakan mulai Sabtu.

Menurutnya, kerja-kerja pemasangan jambatan berkenaan melibatkan 20 orang kakitangan  dari Bahagian Jalan dan Cawangan Kerja Mekanikal, Jabatan Kerja Raya (JKR) Kedah dan dibantu 10 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Beliau berkata jambatan sepanjang 90 kaki dan lebar 18 kaki itu boleh menampung beban sehingga lima tan bagi satu hala.

Pembinaannya juga tidak melibatkan sebarang kos memandangkan kesemua bahan yang digunakan untuk membina jambatan itu dan jentera berat yang digunakan adalah milik atau diperoleh daripada stor JKR.