ALOR SETAR: Semua penduduk yang mendiami tanah rizab Sungai Kupang akan dipindahkan ke kawasan lebih selamat bagi mengelakkan tragedi banjir dan fenomena kepala air seperti yang berlaku pada 4 Julai lepas.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata ketika ini Pejabat Daerah dan Tanah Baling sedang mengenal pasti bilangan rumah yang terlibat dan pelaksanaannya akan diumumkan kemudian.

Beliau berkata kerajaan negeri juga akan membina semula rumah ganti bagi 30 keluarga yang layak di atas tanah Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di Kampung Sadek, Kupang dengan kos sekitar RM58,000 hingga RM60,000 sebuah.

"Selain itu, kerajaan negeri akan membayar sewa rumah sementara kepada penduduk yang rumah mereka musnah sepenuhnya dan yang rosak teruk dengan kadar sewa RM400 sebulan dan RM100 sebulan untuk utiliti selama enam bulan.

"Bagi kediaman yang rosak, kerajaan negeri melantik anak syarikat yang berkaitan untuk melaksanakan kerja-kerja membaik pulih kerosakan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Muhammad Sanusi berkata bancian sedang dilakukan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Baling bagi mengenal pasti kesan banjir yang berlaku kepada kediaman penduduk yang terlibat.

Selain itu, katanya kesan-kesan sampingan bencana itu juga sedang dinilai oleh agensi dan jabatan berkaitan yang seterusnya akan dilaporkan kepada kerajaan negeri untuk tindakan segera.

"Kerajaan negeri juga membantu menguruskan sejumlah 1,228 laporan polis oleh mangsa banjir untuk mendapatkan bantuan Agensi Pengurusan Bencana Negara dan menguruskan 17 keluarga yang masih berada di pusat pemindahan sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai.

"Selain itu, kerajaan negeri turut membantu sekolah dan institusi awam yang terbabit seperti sekolah, surau dan dewan serta membaiki infrastruktur air masyarakat yang terjejas," katanya.

Menurut beliau, kesemua tindakan itu termasuk inisiatif tambahan lain akan dibincangkan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri esok untuk kelulusan perbelanjaan.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata pihaknya juga masih menunggu laporan siasatan jabatan teknikal yang terlibat dalam mengenal pasti punca kejadian itu termasuk yang berhubungan dengan projek pembangunan ladang hutan di Gunung Inas yang dikaitkan dengan bencana itu.

-- BERNAMA