Skip to main content

Dunia

Visa masuk AS pemain Piala Dunia Iran sudah diluluskan - White House

Iran's Mehdi Taremi, right, warms up with teammates during a training session, in Antalya, southern Turkey, Tuesday, June 2, 2026, ahead of the World Cup soccer tournament. (AP Photo/Khalil Hamra)
Penyerang Iran, Mehdi Taremi (kanan), melakukan pemanasan badan bersama rakan sepasukan semasa sesi latihan di Antalya, selatan Turkiye. - Foto AP

WASHINGTON: Pemain bola sepak Iran yang akan beraksi di Piala Dunia dilaporkan telah diberikan visa untuk memasuki Amerika Syarikat (AS), menurut seorang pegawai White House pada Jumaat, hanya 10 hari sebelum perlawanan pertama mereka di Los Angeles.

Perkembangan itu berlaku di tengah-tengah ketegangan antara kedua-dua negara yang masih berdepan konflik.

Duta Iran ke Mexico, Abolfazl Pasandideh sebelum ini memaklumkan, skuad negara itu masih belum menerima visa ke AS setakat Khamis malam, namun seorang pegawai White House mengesahkan dokumen berkenaan telah diluluskan semalaman.

Jurucakap Persekutuan Bola Sepak Iran bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen lanjut.

Susulan isu visa, Tehran dilaporkan membuat perubahan saat akhir dengan memindahkan pangkalan latihan pasukan dari Arizona ke Tijuana, Mexico, selain mengambil pendekatan untuk mengehadkan kehadiran skuad di AS.

Pasukan Iran dijadualkan tiba di Tijuana pada awal pagi Ahad.

Iran bakal membuka kempen Kumpulan G menentang New Zealand pada 15 Jun di Los Angeles, sebelum berdepan Belgium dan seterusnya Mesir di Seattle.

Konflik antara Iran dan AS turut memberi kesan kepada saingan Piala Dunia, yang dilihat semakin mengambil dimensi geopolitik apabila kedua-dua pihak dilihat menggunakan kejohanan itu sebagai platform menunjukkan pendirian masing-masing.

Ini merupakan kali pertama dalam sejarah Piala Dunia sejak diperkenalkan pada 1930, sebuah negara tuan rumah bakal menerima pasukan dari negara yang sedang berperang dengannya.

Dalam pada itu, Pasandideh berkata, AS tidak pernah secara rasmi menyatakan keengganan untuk membenarkan pasukan Iran berada di negara tersebut.

Namun, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, memaklumkan pada Selasa bahawa Washington tidak akan membenarkan individu yang mempunyai kaitan dengan Kor Pengawal Revolusi Iran menyertai delegasi ke Piala Dunia.

Perkara itu berpotensi menjejaskan beberapa pemain Iran yang pernah menjalani khidmat ketenteraan wajib dengan pasukan tersebut.

Presiden Persekutuan Bola Sepak Iran, Mehdi Taj sebelum ini turut dinafikan kemasukan ke AS bagi menghadiri undian kejohanan di Washington pada Disember lalu.

Taj merupakan bekas komander dalam Kor Pengawal Revolusi.

Pasandideh menegaskan, keinginan Iran untuk terus menyertai Piala Dunia mencerminkan usaha negara itu untuk mencari penyelesaian terhadap konflik dengan Washington.

“Penyertaan Iran di Piala Dunia, walaupun berlangsung di bumi yang dianggap musuh, menunjukkan Iran mencari keamanan,” katanya melalui jurubahasa Sepanyol di Kedutaan Iran di Mexico City.

Bagaimanapun, kemajuan rundingan damai antara kedua-dua negara dilihat perlahan, dengan kedua-dua pihak masih meneruskan serangan ketenteraan meskipun terdapat usaha ke arah perjanjian sementara. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement