SEPANG: Operasi menyelamat penduduk dalam banjir di Kampung Bukit Changgang yang terletak berhampiran Dengkil di sini, berdepan cabaran besar kerana kawasan sungai berhampiran dihuni buaya dan ular sawa.

Menurut Ketua Kampung Bukit Changgang, Mohd Alias Hamdi, 56, berkata semua penduduk dan pihak yang terbabit dalam usaha menyelamat sentiasa diingatkan supaya berhati-hati.

“Oleh kerana penduduk kampung ini faham keadaan di sini, mereka turut berhati hati.

“Cuma orang yang datang menyelamat itu kita beritahu ada ular dan ada buaya sebab kawasan kami ini dekat dengan kawasan orang memancing udang, adalah dalam dua tiga ekor buaya,” katanya ketika ditemui Astro AWANI hari ini.

Beliau bagaimanapun bersyukur tiada kejadian tidak diingini berlaku membabitkan buaya dan ular sawa sehingga kini.

Mengulas mengenai banjir yang melanda awal pagi Sabtu itu, katanya ia adalah kejadian terburuk yang berlaku di kampung itu sejak 1971.

Bagaimanapun tindakan pantas penduduk kampung menggunakan pacuan empat roda dan bot dengan dibantu pihak berkuasa untuk menyelamatkan diri berjaya mengelakkan sebarang kemalangan jiwa daripada berlaku.

“Perasaan takut tu ada, tapi kami cepat menyelamatkan semua penduduk kampung... kita gunakan pacuan empat roda dan bot.

“Penduduk yang terjejas hampir 10,000 orang dan rumah terjejas hampir 2,000 buah,” jelasnya.

BACA LAPOR LANGSUNG BERHUBUNG BENCANA BANJIR 2021 DI SINI

Sementara itu, Amir Sham, 47, penduduk di kampung itu menceritakan detik kejadian yang mengejutkan seluruh penduduk kira kira jam 2.30 pagi Sabtu lalu.

“Anggaran itu dalam 2.30 sampai 3.30 pagi air dah laju. Saya tak sempat nak ambil pakaian ke apa, sehelai sepinggang.

“Memang total lost, itulah saya tengah memikir masa depan macam mana nak meneruskan kehidupan bila balik ke rumah nanti,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Astro AWANI mendapati, banjir di kawasan itu belum surut dengan air masih separas pinggang hingga kepala.

Meskipun kesemua penduduk telah dikeluarkan, namun air genang menyebabkan rata-rata mereka masih ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Tinjauan menaiki bot di sekitar kampung itu mendapati hampir semua kediaman masih digenangi air malah ada yang tenggelam sehingga paras bumbung.

Beberapa penduduk dilihat mengambil risiko meredah banjir untuk melihat kediaman masing-masing.