Keperluan pusat data tidak sebabkan kenaikan tarif air domestik - Akmal Nasrullah

Akmal Nasrullah berkata kerajaan menetapkan kos penambahbaikan infrastruktur grid elektrik dan air bagi kemasukan pusat data ditanggung oleh pihak pemaju bagi mengelakkan kenaikan tarif terhadap pengguna. -Foto fail/YouTube Parlimen
KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Negara hari ini dimaklumkan bahawa kadar tarif air domestik tidak akan dinaikkan semata-mata untuk menampung keperluan pusat data.
Ringkasan AI
- Kerajaan tidak akan menaikkan kadar tarif air domestik semata-mata untuk menampung keperluan pusat data. Kos penambahbaikan infrastruktur grid elektrik dan air bagi pusat data akan ditanggung oleh pemaju sendiri untuk elak kenaikan tarif terhadap pengguna domestik.
- Permintaan komited melebihi 7,000 MW memerlukan penambahbaikan grid bagi tempoh Regulatory Period 4 (RP4) bermula 2025 hingga 2027, dengan pendekatan 'user pays' dijadual tarif baharu untuk pusat data. Kategori tarif khusus Voltan Ultra Tinggi (UHV) diperkenalkan bagi memastikan bekalan elektrik stabil.
- Penggunaan air bagi sistem penyejukan dan operasi pusat data meningkat, namun kerajaan sedang melaksanakan strategi pengurusan bekalan air mampan. Operator juga digalakkan menggunakan teknologi hijau bagi mengurangkan kebergantungan kepada air terawat serta menyokong agenda kelestarian negara.
"Dalam hal ini, pendekatan 'user pays' diperkenalkan dalam jadual tarif baharu di mana pengguna pusat data perlu menanggung kos tambahan pemantapan infrastruktur grid tersebut bagi mengelakkan kos ditanggung pengguna lain," katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Rosni Sohar yang ingin mengetahui penilaian kerajaan mengenai kesan peningkatan pusat data terhadap penggunaan tenaga dan air negara serta jaminan tiada kenaikan tarif elektrik dan air yang akhirnya membebankan rakyat dan menjejaskan kesejahteraan ekonomi domestik.
Menurut Akmal Nasrullah, kerajaan turut mewujudkan kategori tarif khusus Voltan Ultra Tinggi (UHV) bagi pusat data yang disambungkan pada voltan tinggi dan voltan amat tinggi bagi memastikan bekalan elektrik stabil serta mampan di premis pusat data berkenaan.
Beliau memaklumkan penggunaan air bagi sistem penyejukan (cooling system) dan operasi pelayan (server) pusat data turut meningkat hasil pembangunan pusat data berskala besar, dan kerajaan sedang melaksanakan strategi pengurusan bekalan air mampan supaya keperluan sektor ini tidak menjejaskan pengguna domestik serta industri lain.
Katanya, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah mengeluarkan Garis Panduan Bekalan Air bagi Pembangunan Pusat Data berkuat kuasa 1 Sept 2025 yang memperincikan syarat teknikal perlu dipatuhi, meliputi proses dari perancangan hingga fasa operasi, termasuk pematuhan standard antaranya oleh Pertubuhan Antarabangsa untuk Piawaian (ISO) dan Suruhanjaya Elektroteknik Antarabangsa (IEC).
"Operator juga digalakkan menggunakan teknologi hijau seperti sistem penyejukan efisien, penggunaan air boleh guna, pengumpulan air hujan dan kitar semula air dalam pengoperasian pusat data bagi mengurangkan kebergantungan kepada air terawat serta menyokong agenda kelestarian negara," katanya.
Menjawab soalan tambahan Senator Dr Jufitri Joha mengenai kebimbangan penduduk terhadap penggunaan air bawah tanah oleh projek pusat data di Port Dickson, Akmal Nasrullah berkata kawal selia pengambilan air tanah adalah bidang kuasa kerajaan negeri, dan sebarang bantahan perlu dirujuk kepada pihak berkenaan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


