Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di negeri ini terus berkurangan kepada 1,390 orang pada 8 pagi ini berbanding 1,473 orang, malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Ayub Rahmat berkata kesemua mereka terdiri daripada 384 keluarga yang masih ditempatkan di 22 pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah yang terjejas iaitu Segamat, Tangkak dan Muar.

Beliau berkata daripada 70 PPS di Segamat, 53 pusat telah ditutup manakala hanya satu PPS dibuka di Tangkak berbanding 15 pusat sebelum ini.

Sehingga kini, masih terdapat 982 mangsa daripada 264 keluarga di PPS Segamat dan 25 mangsa daripada enam keluarga di PPS Tangkak.

"Di Muar, terdapat 383 mangsa daripada 114 keluarga masih ditempatkan di empat PPS," kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, lima jalan masih terputus hubungan meliputi Jalan Pogoh-Tekam dan Jalan Balai Badang-Mensudut Lama di Segamat; Jambatan Jalan Kampung Sungai Pinggan di Pontian manakala di Muar pula jalan yang terlibat ialah KM61 Jalan Muar-Labis serta Jalan Pagoh Tekam.

-- BERNAMA