KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Johor dan Pahang beransur pulih malam ini apabila jumlah mangsa yang berlindung di 19 pusat pemindahan sementara (PPS) berkurangan kepada 1,869 orang berbanding 2,237 petang tadi.

Menurut laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), jumlah itu meliputi 1,150 orang daripada 329 keluarga yang berlindung di 14 PPS di lima daerah di Johor dan 719 orang daripada 215 keluarga di lima PPS di Pahang.0

Di Johor, seramai 611 mangsa masih berlindung di empat PPS di Mersing, 263 di lima PPS di Kota Tinggi, 155 di dua PPS di Kluang, 89 di dua PPS di Segamat dan 32 di sebuah PPS di Batu Pahat.

Di Pahang pula, seramai 573 mangsa direkodkan masih berada di tiga PPS di Pekan dan 146 lagi di dua PPS di Rompin.

Tinjauan situasi status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati beberapa sungai di Johor, Pahang, Perak, Perlis, Selangor dan Terengganu berada pada paras bahaya setakat 8 malam ini.

Di Johor, sungai terlibat meliputi Sungai Johor di Kota Tinggi, Sungai Muar di Segamat dan Sungai Endau di Kluang manakala di Pahang pula meliputi Sungai Pahang di Pekan, Bera dan Maran serta Sungai Rompin.

Turut tersenarai Sungai Perak di Hulu Perak, Sungai Arau di Perlis, Selangor (Sungai Klang di Klang dan Sungai Langat di Kuala Langat) dan Terengganu (Sungai Terengganu di Kuala Terengganu).

NADMA turut memaklumkan terdapat 49 jalan ditutup akibat bencana banjir, jambatan rosak dan tanah runtuh antaranya Jalan Petri Jaya di Kota Tinggi, Johor, Jalan Pahang Tua-Ganchong-Pulau Manis di Pekan, Pahang dan Jalan Bukit Besi-Dungun di Dungun Terengganu.

Berkenaan insiden kebakaran di Sabah dan Sarawak, NADMA memaklumkan seramai 47 orang daripada 12 keluarga masih berlindung di sebuah PPS yang beroperasi di Tawau, Sabah manakala 38 mangsa daripada 12 keluarga pula ditempatkan di sebuah PPS di Kuching, Sarawak.

-- BERNAMA