Banjir di Perlis, Pahang hampir pulih, mangsa di Perak, Selangor terus menurun

Situasi banjir di Perlis dan Pahang hampir pulih; jumlah mangsa di PPS Perak & Selangor terus menurun, cuaca buruk dijangka petang ini. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Situasi banjir di Perlis dan Pahang hampir pulih, manakala jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Perak dan Selangor terus menurun pagi ini.
Ringkasan AI
- Situasi banjir di Perlis dan Pahang hampir pulih, sementara jumlah mangsa di PPS di Perak dan Selangor terus menurun.
- Di Perak, jumlah mangsa banjir di 18 PPS menurun kepada 2,690 orang daripada 783 keluarga.
- Di Selangor, jumlah mangsa menurun kepada 699 orang daripada 215 keluarga pada pagi ini berbanding 712 orang daripada 220 keluarga malam sebelumnya.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan ribut dan hujan di daerah Kampar, Muallim dan Batang Padang pada petang dan malam ini, manakala beberapa daerah lain termasuk Kerian, Manjung, Perak Tengah, Hilir Perak dan Kinta dijangka berlaku ribut pada sebelah petang.
Di SELANGOR, jumlah mangsa menurun kepada 699 orang daripada 215 keluarga pada pagi ini berbanding 712 orang daripada 220 keluarga malam tadi.
Menurut laman web Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah PPS yang masih beroperasi juga menurun kepada tujuh berbanding lapan sebelum ini, melibatkan daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam.
Situasi banjir di PERLIS pula semakin pulih, dengan jumlah mangsa banjir menurun kepada 207 orang setakat 8 pagi ini berbanding 256 orang malam tadi.
Menurut Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Perlis, semua mangsa masih ditempatkan di dua PPS bagi kawasan Padang Besar dan Arau.
Di PAHANG, jumlah mangsa di Kuantan dan Maran kekal 28 orang daripada enam keluarga yang berada di dua PPS seperti malam tadi.
InfoBencana JKM melaporkan 21 mangsa daripada lima keluarga berlindung di Balai Raya Kampung Baru Pertanian, Maran, manakala tujuh sekeluarga ditempatkan di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Kuantan.
Paras air di stesen Jabatan Pengairan dan Saliran di semua sungai utama negeri itu merekodkan bacaan di bawah paras bahaya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


