TEL AVIV: Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menegaskan bahawa operasi ketenteraan terhadap Iran bukanlah konflik berpanjangan, sebaliknya membuka “laluan menuju keamanan” di rantau Asia Barat.
Kenyataan itu dibuat dalam wawancara bersama Fox News ketika perang Israel–Iran terus berkembang dan mencetuskan kebimbangan global.
Advertisement
Netanyahu menolak dakwaan bahawa Israel dan Amerika Syarikat (AS) berdepan risiko tersangkut dalam konflik jangka panjang.
Menurutnya, tindakan ketenteraan ini adalah strategi untuk melemahkan Iran secara tuntas.
“Ini bukan perang tanpa penghujung. Ini adalah langkah menuju keamanan. Ia bertentangan dengan apa yang orang katakan,” kata Netanyahu.
Beliau turut menekankan bahawa rejim Iran berada pada kedudukan paling lemah sejak beberapa dekad, dan operasi yang sedang berlangsung akan “pantas dan tegas”.
Dalam wawancara sama, Netanyahu menegaskan bahawa usahasama beliau dengan Presiden AS Donald Trump mampu menghasilkan lebih banyak perjanjian normalisasi hubungan antara Israel dan negara‑negara Arab, seperti kejayaan sebelum ini melalui Perjanjian Abraham.
“Kami (Netanyahu dan Trump) mencetuskan Perjanjian Abraham - empat perjanjian damai dengan negara Arab. Kini, dengan bekerjasama menentang Iran, kita boleh membawa lebih banyak lagi perjanjian damai,” katanya.
Netanyahu mendakwa bahawa 95 peratus masalah di Asia Barat berpunca daripada tindakan Iran, dan bahawa kejatuhan kepimpinan Iran bakal membuka ruang kepada gelombang keamanan lebih luas di rantau itu.
Walaupun Netanyahu optimis, pegawai AS memberi isyarat bercampur‑aduk mengenai objektif sebenar operasi, termasuk persoalan sama ada perubahan rejim Iran merupakan matlamat tersirat.
Trump sebelum ini menyatakan operasi ketenteraan boleh mengambil masa antara empat hingga lima minggu, tetapi mengakui ia boleh berlarutan lebih lama bergantung kepada keadaan.
Dalam masa yang sama, serangan balas dan ketegangan di rantau ini terus meningkat, dengan peluru berpandu Iran dan serangan udara Israel mengenai pelbagai lokasi di Israel, Lubnan, Teluk dan Iran, memperdalam risiko perluasan konflik.