SHAH ALAM : Kejadian banjir kilat di beberapa kawasan di Selangor disebabkan taburan hujan lebih dua kali ganda paras tertinggi pernah direkodkan sebelum ini, kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Katanya, kadar taburan hujan terbaharu mencecah 380mm, berbanding kadar tertinggi 180mm sebelum ini.

Beliau berkata, keadaan diburukkan oleh fenomena air pasang di kawasan terbabit iaitu mencecah 4.5 meter.

Amirudin berkata, berdasarkan pembentangan Unit Pengurusan Bencana Selangor yang beliau pengerusikan, jumlah terkini pusat pemindahan sementara (PPS) dijangka meningkat kepada 50 buah malam ini.

“Sehingga jam 5 petang, saya dimaklumkan angka rasmi PPS ialah sebanyak 46, dan jumlah itu dijangka mencecah 50 buah PPS menjelang malam ini hingga esok, dan jumlah mangsa keseluruhan dianggar mencecah 5,000 orang,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, 46 PPS ketika ini menempatkan 3,582 penduduk yang menjadi mangsa banjir selepas tempat kediaman mereka dinaiki air.

“Kesemua mangsa akan melalui saringan COVID-19 secara berkala dan percuma untuk mengelakkan daripada tercetusnya kes COVID-19. PPS khusus akan disediakan bagi mangsa yang dikesan positif COVID.

"Aset-aset kerajaan negeri serta agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia akan dikerah, khususnya kenderaan redah banjir bagi tujuan pemindahan mangsa serta pengagihan barang keperluan asas,” katanya lagi.

Amirudin berkata, beliau telah mengarahkan Air Selangor untuk menyediakan tangki air bergerak untuk ditempatkan di PPS untuk kegunaan penduduk yang berada di situ.

Kesemua usaha itu, jelasnya lagi, akan dikoordinasi oleh Smart Selangor Operations Centre (SSOC) yang yang beroperasi 24 jam sehari berpusat di Ibu Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Shah Alam.

“Kerajaan negeri akan menggerakkan pasukan sukarelawan Team Selangor dan SERVE bagi membantu proses menempatkan penduduk di PPS, mengagihkan bantuan awal serta proses pembersihan yang akan bermula selepas air pasang mula surut.

“Sebanyak 134 pintu air terpaksa ditutup akibat kejadian air pasang yang menyebabkan tidak selamat untuk dibuka bagi mengelakkan air daripada melimpah ke kawasan-kawasan perumahan penduduk yang berdekatan kunci air,” katanya lagi.

Dalam pada itu beliau menasihati penduduk di kawasan-kawasan terbabit untuk mematuhi nasihat pasukan keselamatan dan bersiap sedia sekiranya diarahkan untuk berpindah ke PPS.

Jelasnya lagi, arahan itu bagi melindungi keselamatan rakyat untuk waktu yang kritikal ini.

“Elakkan daripada keluar rumah jika tiada keperluan mendesak. Jauhi dari tempat yang dinaiki air kerana ini boleh menyebabkan renjatan elektrik ataupun panahan petir.

“Kerajaan negeri akan membuat segala yang mampu mengikut kapasiti untuk memastikan bantuan tiba kepada mangsa yang amat memerlukan pada waktu yang kritikal ini. Ikuti maklumat mengenai situasi serta pemakluman terkini di laman media sosial rasmi saya di Twitter, Facebook serta Instagram,” katanya lagi.