Skip to main content

Malaysia

Infaq Jumaat Johor eratkan hubungan komuniti, perkukuh masjid sebagai pusat kebajikan

MERSING, 5 Jun -- Roslan Zapar, 67 turut membantu mengagihkan makanan percuma kepada jemaah sempena Program Infaq Jumaat Johor di masjid berkenaan baru-baru ini.  Inisiatif Program Infaq Jumaat Johor yang dilaksanakan kerajaan negeri bukan sahaja menyediakan hidangan percuma kepada rakyat setiap minggu, malah turut memperkukuh peranan masjid sebagai pusat kebajikan serta mengeratkan hubungan dengan komuniti setempat.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Roslan turut membantu mengagihkan makanan percuma kepada jemaah sempena Program Infaq Jumaat Johor di Masjid Kampung Baru/Air Tawar, Mersing, baru-baru ini. --fotoBERNAMA

MERSING: Inisiatif Program Infaq Jumaat Johor yang dilaksanakan kerajaan negeri bukan sahaja menyediakan hidangan percuma kepada rakyat setiap minggu, malah turut memperkukuh peranan masjid sebagai pusat kebajikan serta mengeratkan hubungan dengan komuniti setempat.

Tinjauan Bernama di Masjid Kampung Baru/Air Tawar di sini mendapati sebanyak 175 pek makanan mengandungi nasi putih dan lauk-pauk diagihkan kepada jemaah, sekali gus memberikan manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat termasuk warga emas dan golongan asnaf.

Pengerusi masjid berkenaan Mohamad Nazir Chan, 50, berkata program itu mendapat sambutan menggalakkan sejak diperkenalkan tahun lepas dan berjaya memastikan bantuan disalurkan secara terus kepada mereka yang memerlukan.

Beliau berkata inisiatif yang diilhamkan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail itu turut menjadi antara faktor yang menggalakkan lebih ramai penduduk hadir ke masjid, selain menjadikan institusi tersebut lebih dekat dengan masyarakat.

“Kami teruja apabila menerima dana untuk melaksanakan program ini kerana dapat melihat sendiri manfaatnya kepada penduduk setempat. Setakat ini, proses agihan berjalan dengan lancar dan sambutannya amat baik,” katanya kepada Bernama.

Mohamad Nazir yang telah menerajui pengurusan masjid itu selama tiga tahun berkata Kampung Baru/Air Tawar mempunyai kira-kira 300 rumah dan program berkenaan secara tidak langsung membantu mengeratkan hubungan antara institusi masjid dengan komuniti setempat.

Bagi penerima manfaat, Roslan Zapar, 67, berkata program itu membantu mengurangkan perbelanjaan harian, khususnya bagi golongan warga emas dan asnaf sepertinya.

Bapa kepada tiga anak itu berkata dia bersyukur dapat menikmati makanan tengah hari yang disediakan menerusi program berkenaan, sekali gus meringankan beban kewangannya.

“Sekurang-kurangnya saya dapat menikmati makan tengah hari tanpa perlu mengeluarkan perbelanjaan,” katanya.

Roslan, yang menghidap gastrik, kini menerima bantuan daripada Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), selain menjual baja sebagai sumber pendapatan.

Seorang lagi penduduk, Jamil Arshad, 72, berkata program itu banyak membantu dirinya dan isteri yang berusia 70 tahun dalam menyediakan juadah tengah hari.

“Satu pek pun cukup untuk kami berdua berkongsi kerana isteri sudah tidak larat memasak. Inisiatif ini nampak kecil, tetapi besar impaknya kepada warga emas seperti kami,” kata pesara kerajaan itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Baru/Air Tawar Azmi Liman berkata program berkenaan turut memberikan kesan positif terhadap kesejahteraan komuniti setempat.

Beliau berkata kampung itu mempunyai lebih 2,000 penduduk dengan dianggarkan antara 150 hingga 200 orang tergolong dalam kategori miskin tegar.

“Program ini bukan sahaja membantu golongan yang memerlukan, tetapi juga menyuburkan budaya bersedekah dan mengukuhkan hubungan antara masjid dengan masyarakat.

“Kita juga melihat ada individu serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil menghulurkan sumbangan selepas melihat manfaat yang diterima penduduk,” katanya dan menambah program seumpama itu melengkapkan bantuan tunai yang diterima rakyat dan membantu memastikan kebajikan golongan rentan terus terpelihara.

Tinjauan di media sosial pula mendapati rata-rata netizen memberikan reaksi positif terhadap inisiatif yang diilhamkan Tunku Mahkota Ismail itu, yang disifatkan membawa makna besar kepada golongan memerlukan.

Seorang pengguna Facebook, Danial Hakimi, menerusi komennya pada satu hantaran berkaitan berkata program berkenaan mencerminkan keprihatinan institusi diraja dan kerajaan negeri terhadap kebajikan rakyat.

“Alhamdulillah, nampak mudah sekadar menyediakan makanan, tetapi besar maknanya kepada mereka yang memerlukan. Keprihatinan Pemangku Sultan Johor dan kerajaan negeri benar-benar memberikan manfaat kepada rakyat,” katanya.

Bagi tahun ini, kerajaan negeri memperuntukkan RM26.9 juta bagi pelaksanaannya melibatkan 538 masjid dan surau di seluruh Johor.

Setakat suku pertama tahun ini, Program Infaq Jumaat telah dilaksanakan di 5,660 masjid serta surau di seluruh negeri dengan peruntukan berjumlah RM5.66 juta.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM1.13 juta merupakan sumbangan daripada institusi masjid dan surau yang terlibat, sekali gus memperkukuh peranan institusi berkenaan sebagai pusat sehenti yang mengimbangi tuntutan ibadah dengan kebajikan masyarakat setempat.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement