TAIPING: Dua lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Daerah Larut Matang Selama di Perak, menjadi empat PPS, apabila banjir melanda beberapa kawasan setakat pagi Ahad.

Dua PPS baharu itu ialah di Dewan Orang Ramai Kampung Simpang Halt dan Sekolah Kebangsaan Simpang.

Dua PPS yang dibuka sejak malam tadi ialah di Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Relong dan Kampung Sungai Baru.

Jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Larut Matang Selama berkata, mangsa di PPS Dewan Orang Ramai akan dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Bukit Jana kerana dewan berkenaan tidak dapat menampung kapasiti mangsa.

Menurutnya, jumlah mangsa meningkat kepada 176 orang daripada 46 keluarga.

Setakat ini, PPS DOR Kampung Sungai Relong menempatkan 88 mangsa dari 21 keluarga  dari kampung berkenaan dan Kampung Baru Batu 5.

Menurut jurucakap itu lagi, PPS di Dewan Orang Ramai Kampung Simpang Halt pula menempatkan 46 mangsa dari 12 keluarga di kampung berkenaan.

Katanya, PPS Sekolah Kebangsaan Simpang pula menempatlan 30 mangsa dari 10 keluarga di Taman Mawar dan Kampung Jelapang Jaya.

Jumlah mangsa di PPS Kampung Sungai Baru pula ialah 12 mangsa dari 3 keluarga selepas rumah mereka di Kampung Sungai Nyior dinaiki air.