SEGAMAT: Hasrat seorang ibu tunggal untuk kehidupan yang lebih baik selepas kematian suaminya pada Oktober lepas, masih belum kesampaian, selepas dia dan tiga anak angkatnya menjadi antara ribuan mangsa banjir di Johor.

Ramlah Rais, 59, berkata, dia telah mengeluarkan kesemua simpanannya dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM80,000 untuk membina semula rumah papannya di Kampung Spang Loi, di sini.

Malangnya, apabila kampung itu dilanda banjir, ekoran limpahan air dari Sungai Muar ke Sungai Spang Loi, segala barang-barangan untuk membuat semula rumahnya rosak.


Pascabanjir | Terpaksa 'lupa' sekolah selepas kelengkapan hanyut

“Dulu rumah makcik hanyalah rumah papan. Tapi makcik nekad keluarkan KWSP nak naikkan jadi rumah batu. Tapi kerana banjir sejak 2 Januari lepas, habis segala simen, pasir, dan siling rosak terkena air,” katanya kepada Astro AWANI.


Biarpun dirinya tidaklah sesenang orang lain, namun Ramlah menggalas tanggungjawab menjaga tiga orang anak angkat berusia antara 9 hingga 13

Buat masa ini, Ramlah berkata, dia tidak mempunyai sumber pendapatan yang tetap, melainkan hasil ladang sawit peninggalan arwah suaminya sebanyak RM400, yang kini diuruskan anak tirinya.

Dalam pada itu, Ramlah berkata, biarpun dirinya tidaklah sesenang orang lain, namun dia turut menggalas tanggungjawba menjaga tiga orang anak angkat dalam lingkungan antara 9 hingga 13 tahun.

Lebih memilukan, kata Ramlah lagi, segala persiapan persekolahan untuk anak-anak yang dia anggap seperti anak sendiri itu, musnah akibat penangan air banjir.

“Persiapan mula-mula dulu dah ada dah, kerajaan dah bantu dengan baju, kasut semua. Tapi dah terjejas banjir semua dah habis tak ada lagi, semua dah rosak.

“Dulu kerajaan beri baju sekolah dua pasang, kasut dua pasang, untuk sekolah agama pun dua pasang juga. Juga ada bantuan untuk awal persekolahan RM100 satu orang. Itu sahaja, bantuan lain memang tak ada,” katanya lagi.

Buat masa ini, Ramlah berkata, dia amat berharap sekiranya agensi-agensi kerajaan dapat melihat keadaan dirinya, serta menyalurkan bantuan, khususnya untuk memastikan anak-anaknya itu dapat meneruskan persekolahan seperti sedia kala.